Ops Lalang: Saya rebah saat suami dibawa pegi, kata isteri Kua

Anne-Munro-Kua_polis_jail_600

KUALA LUMPUR: Isteri aktivis Kua Kia Soong yang ditahan dalam Operasi Lalang selama 445 hari pada 1987 mengimbau kembali detik trauma 30 tahun lalu semasa polis menyerbu rumah mereka pada waktu malam dan menahan suaminya.

Penulis, Anne Munro-Kua berkata tiada seorangpun bersedia untuk berdepan ujian sedemikian.

“Saya tahu di tangan polis ada pistol dan nasib kamu akan berakhir di lokap, tetapi saya tidak bersedia malam itu walaupun kami menjangkakan kedatangan mereka untuk menangkap suami saya,” katanya.

“Saya fikir pegawai polis bertindak mengikut undang-undang dengan melaksanakan tugas mereka di siang hari.

“Tetapi ia berlaku di tengah malam ketika 2 kereta tanpa logo polis dan 10 pegawai yang kami anggap sebagai anggota Cawangan Khas datang mengambil suami saya,” tambahnya.

Beliau berkongsi pengalaman dalam majlis memperingati ulang tahun ke-30 Operasi Lalang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor yang turut menampilkan penerbitan semula bukunya bertajuk “Autocrats vs the People: Authoritarian Populism in Malaysia”.

Operasi Lalang bermula pada 27 Oktober 1987, bertujuan untuk mencegah terjadinya rusuhan kaum di negara ini.

Ia menyaksikan 106 individu termasuk aktivis masyarakat, pemimpin NGO, ahli politik pembangkang, intelektual dan aktivis pelajar ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini telah dimansuhkan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Operasi itu berlaku berlatarkan perpecahan dalam Umno pada 1986 dan 1987, yang menyaksikan pertembungan antara 2 kumpulan bertentangan dalam parti itu, yang diketuai oleh Dr Mahathir, sementara pihak satu lagi diketuai Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam.

Munro-Kua berkata berdasarkan penyelidikan semula terhadap tindakan keras itu, ia mengingatkannya bahawa semua yang ditahan menjadi mangsa korban dalam konflik Umno.

Beliau mengenang kembali bagaimana naluri keibuannya muncul saat polis terpacul di depan rumah mereka.

“Saya rasa seperti seekor serigala yang melindungi anaknya. Perkara pertama yang saya lakukan adalah meminta pihak polis menunjukkan identiti mereka jika tidak, saya tidak akan membuka geriji dan itulah kali pertama saya berbangga rumah di Malaysia mempunyai geriji,” katanya.

“Perkara seterusnya yang saya lakukan adalah berlari ke tengah jalan dan menjerit kepada jiran, ‘Mr Yong! Cawangan Khas ada di sini mahu menangkap suami saya’ kerana saya mahu jiran saya menyaksikan apa yang sedang berlaku supaya polis tahu mereka sedang disaksikan.

“Tindakan seterusnya, saya berdiri di depan bilik anak-anak saya dan berkata, ‘Tidak, anda tidak akan masuk ke sana,’ dan polis mendengar arahan saya,” katanya.

Dia berkata ketika polis akhirnya membawa Kua ke dalam kereta dan berlalu pergi, beliau mendapati dirinya berada di tengah jalan sendirian. “Kekuatan saya tumbang,” katanya.

Munro-Kua berkata apa yang dilalui sepanjang penahanan suaminya adalah sokongan yang diterima daripada orang-orang di sekeliling dan anak-anaknya.

Antara tahanan ISA yang terkenal ialah Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh, Naib Presiden MCA Chan Kit Chee, Ketua Pemuda PAS Halim Arshat, Ahli Parlimen Umno Pasir Mas Ibrahim Ali dan Exco Biro Pendidikan Pemuda Umno Mohamed Fahmi Ibrahim.

Selain Kua, yang menjawat jawatan ketua publisiti Jawatankuasa Hak Sivil pada masa itu, turut ditahan ialah Pengerusi Dong Jiao Zong (Persatuan Pendidikan Cina) Lim Fong Seng dan ahli Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Irene Xavier.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/28/ops-lalang-bela-dr-m-ibarat-bela-hitler-kata-suaram/