1 undi untuk BN, 1 undi untuk dikawal China, kata Zaid

1 undi untuk BN, 1 undi untuk dikawal China, kata Zaid

Bekas menteri itu berkata Malaysia di bawah pentadbiran Najib Razak terlalu bergantung kepada China.

zaid-ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim memberi amaran kepada pengundi, terutamanya pengundi luar bandar, bahawa 1 undi untuk Barisan Nasional ialah undi untuk China menguasai Malaysia.

Bekas menteri itu dalam ucapannya di pekan Temangan dan Semerak di Kelantan baru-baru ini berkata “Umno/BN mempunyai hubungan istimewa dengan China dan parti komunis negara itu.”

“Sekarang kita hantar perwakilan ke kongres parti komunis tetapi esok, China akan arah kita dasar yang kita perlu laksanakan, dan bagaimana menguruskan negara,” kata Zaid dalam blog terbaharu beliau. Zaid merujuk kepada laporan mengenai perwakilan Umno yang dihantar untuk berucap di kongres nasional Parti Komunis China 18 Oktober lepas.

“Oleh itu, 1 undi untuk Najib ialah 1 undi untuk dikawal negara asing dan hegemoni ke atas kita.”

Zaid menjawab kenyataan Duta China Huang Huikang yang pada Jumaat berkata China tidak berminat “merampas” tanah di Malaysia.

Huang dilaporkan berkata sekiranya China mahu merampas tanah, ia sudah melakukannya “600 tahun lalu” dan menjajah negara lain “bukan sifat orang Cina”.

“Kalau kamu tahu sejarah kita, kamu tidak akan tuduh China menjajah atau merampas tanah orang lain, bukan seperti kuasa Barat. Kami tidak pernah dan tidak akan berbuat demikian,” katanya menurut laporan Sin Chew Daily.

Zaid bagaimanapun berpendirian China suatu hari nanti akan mempunyai tanggungjawab yang besar atas ekonomi Malaysia kerana paras hutang negara yang terus meningkat.

“Bantahan duta China bahawa China tidak berminat untuk ‘menduduki’ Malaysia adalah lompang.

“Kesudahannya, kita akan bergantung kepada China untuk selamatkan Felda dan Mara, kerana kita tiada wang.

“Suatu hari nanti China akan bayar gaji kita kerana kita sudah mencecah siling hutang negara berbanding KDNK,” katanya.

Zaid memberi amaran mengenai kesan “kawalan China ke atas Malaysia” yang tidak boleh dibetulkan, dan itulah pengakhirannya sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal berkuasa.

Zaid berkata kekhuatirannya berpunca daripada keadaan negara sekarang ini, yang bergantung kepada China untuk membina sektor perumahan, industri, pasar raya, keretapi, pelabuhan dan tenaga.

“Mereka akan menjalankan semua projek besar dan pasar raya besar, yang kebanyakan orang kita tak mampu untuk beli.

“Mereka akan ‘bantu’ negara kita, hanya jika memberi manfaat kepada mereka.”

Beliau memberi amaran bagaimana aset 1MDB, Edra Energy, yang kini 100% milik China, boleh memberitahu Tenaga Nasional berapa tarif elektrik yang perlu dibayar rakyat.

“Juga, Malaysia Airlines kini terbang ke lebih banyak destinasi di China berbanding syarikat penerbangan antarabangsa lain, dan ada kemungkinan China akan menentukan ke mana destinasi Malaysia Airlines seterusnya, seolah-olah ia syarikat domestik China,” kata Zaid.

Zaid juga menyalahkan Najib kerana memperkenalkan durian Musang King ke China, menyebabkan lonjakan harga untuk buah itu di Malaysia.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.