Hadi perlu failkan pembelaan jawab dakwaan Clare, kata peguam

sn-nair-hadi-2

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus memfailkan pembelaan bagi membersihkan perdana menteri daripada tuduhan, sebagai jawapan kepada dakwaan Clare Rewcastle Brown bahawa presiden PAS itu berkomplot dengan Datuk Seri Najib Razak atau ejen beliau untuk mengekploitasi satu kes mahkamah di London, kata seorang peguam.

S.N Nair berkata perkara itu mesti dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan peraturan mahkamah British.

“Kegagalan berbuat demikian akan membantu Clare mendapatkan keputusan yang memihak kepadanya,” kata peguam itu kepada FMT.

Nair percaya peguam Hadi di London akan menjawab tuntutan balas itu.

Beliau berkata demikian selepas editor Sarawak Report itu memfailkan tuntutan balas dan pembelaan terhadap saman Hadi yang dibuat pada April.

Dalam tuntutan balas itu, editor portal itu berkata mereka mahu mecemarkan nama baik beliau dan Sarawak Report yang berkempen untuk menyingkir dan membawa Najib ke mahkamah untuk menjawab dakwaan rasuah dan kelakuan jenayah.

Dalam kertas mahkamah yang diliihat FMT, Clare berkata Hadi, sama ada secara sendiri atau ejen, terbabit dengan penerbitan beberapa siri artikel, yang mempunyai unsur perkauman, memfitnah dan mengganggu beliau di laman sesawang Third Force dan Malaysia Today.

Dalam tuntutan balas yang difailkan 11 Oktober itu, Clare berkata penerbitan berkenaan sama seperti gangguan.

Dalam tuntutan balas itu, beliau mengaitkan Najib kepada skandal kewangan 1MDB, urusjanji kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pendakwaan liwat Anwar Ibrahim, rasuah dan politik wang pada pilihan raya umum 2013.

Claire juga menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pegawai PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang yang disumberkan daripada 1MDB.

Hadi memfailkan saman di Mahkamah Tinggi London susulan artikel yang ditulis pada 6 Ogos tahun lepas.

Sarawak Report menaikkan artikel 8 perenggan yang mendakwa RM90 juta “dikatakan” memasuki akaun pimpinan tinggi PAS bagi memikat mereka menyokong Umno dan BN.

Clare dalam pembelaannya terhadap saman Hadi itu berkata Hadi tidak dinamakan atau dikenalpasti dalam mana-mana kenyataan dalam artikel berkenaan.

Beliau berkata saman Hadi melanggar haknya dan kebebasan bersuara orang ramai, terutamanya dalam perbincangan tentang perkara politik.

Clare berkata Hadi memfailkan dakwaan itu bukan untuk mempertahankan imejnya tetapi untuk tujuan salah iaitu melindungi nama baik dan meneruskan tujuan politik PAS dan sekutunya, Najib.

Beliau berkata kenyataan dalam artikel itu adalah berkepentingan awam.

Nair berkata Hadi dan Clare boleh memilih untuk membatalkan tuntutan masing-masing selepas mereka memfailkan pembelaan.

“Tetapi mesti difailkan sebelum perbicaraan bermula,” katanya, dan menambah pasti menarik untuk melihat siapakah antara mereka yang akan mengemukakan bukti.