
Semalam, bertempat di EG Tower Empire City, Damansara Perdana berlangsungnya majlis memperkenalkan pakaian gaun petang dan pakaian kebangsaan yang bakal diperagakan pada pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017 di Las Vegas, Nevada 24 November akan datang.Ia pasti akan menjadi detik paling dinanti-nanti dan diharap Samantha Katie James menunaikan harapan seluruh rakyat Malaysia. Si jelitawan itu mempunyai semua tiket, maka tiada keraguan atas kemampuannya, selepas ini kita berserah pada Tuhan sahaja.
Bagaimanapun, ada perkara yang agak mengecewakan sekaligus menimbulkan persoalan jika objektif utama pertandingan ratu cantik ini tergelincir iaitu, “women empowerment” atau memperkasa wanita.
Ini kerana apa yang dihidang pada petang itu hanyalah sebuah “skin show” yang bukan sahaja menjadikan saya tidak selesa, tetapi termasuk Samantha, walaupun dia enggan mengaku ketika ditanya.
Tak mengapalah kalau dia tidak mengaku, alang-alang mewakili Miss Universe Malaysia Organisation (MUMO) dia tak boleh mengecewakan mereka juga.
Coretan ini tidak sama sekali menyalahkan mana-mana pihak, cuma kasihan melihat seorang wanita yang diobjektifikasi sebagai produk sensual. Inikah “women empowerment”?
Ketika pengacara mengumumkan nama Samantha untuk mempersembahkan gaun petang atau “evening gown”, ternyata wanita kacukan Cina-Brazil itu mengambil masa lebih lama daripada yang disangka untuk masuk ke dalam auditorium pejabat MyEg.
Sekali masuk, baju berwarna merah hati menawan semua mata yang memandang. Daripada dandanan rambut, solekkan, bentuk tubuh badan, cara Samantha berjalan, baju yang menyerlahkan lagi keanggunan dan yang paling penting senyumannya.
Tetapi, semua itu hilang dalam beberapa detik apabila Samantha kelihatan sangat tidak selesa tatkala berjalan menaiki pentas.
Potongan sisi pada sebelah kaki kanan dan bahagian atas gaun yang berbentuk korset itulah penyebabnya.
Bayangkan betapa resah dan sukar melalui detik apabila potongan pada bahagian kaki mencecah hingga tulang pelvis wanita itu yang menampakkan seluruh kaki termasuk asetnya.
Bukan itu sahaja bahagian atas depan baju pula “asyik jatuh” dan perekanya, Brian Khoo terpaksa membetulkannya sekali-sekala dengan menarik ke atas di hadapan para media yang tidak habis-habis membidik punat kamera.
Sumpah, saya malu dan kesal dengan persediaan yang kurang baik itu. Ternyata Brian perlu membetulkan pakaian itu sebelum ia dibawa ke acara akhir supaya Samantha selesa atas pentas antarabangsa itu kelak.
Jadi, pesanan saya kepada Brian, sila cari jalan untuk memberi lebih keyakinan kepada wanita itu supaya dia dapat berjalan dengan bangga dan yakin sebagai seorang wanita perkasa.
Ini, di sebalik kenyataan MUMO iaitu gaun sebenar tidak akan didedahkan sehingga pada hari pertandingan dan gaun petang yang diperkenalkan semalam kemungkinan besar hanya diperagakan pada pusingan preliminari sahaja.
Okay, itu cerita gaun petang, sekarang kita beralih kepada baju kebangsaan. Cukup-cukuplah memandangkan ramai yang berkongsi cerita mengenai baju itu sejak petang semalam.
Tahniah Brian kerana membawa idea segar dan boleh dibawa ke tahap yang lebih bermutu jika persembahan “nasi lemak” dilakukan secara lebih kreatif, berani dan gempak.
Inikan pula, seolah-olah “nasi lemak” tertumpah di atas baju pengantin… macam itulah gayanya kecuali helaian daun pisang gergasi yang memberi faktor “wow” kepada pakaian separa “boring” itu.
Sebenarnya inspirasi pakaian daripada makanan tidaklah salah, cuma tak cukup kena “gah”, hanya sekadar disensualkan.
Pada mata kasar, gaun petang dan dress kebangsaan itu itu tak banyak beza. Kedua-dua ada belahan pada kaki dan baju bahagian atas berbentuk korset mendedahkan aset dada.
Sekali lagi, pakaian itu juga lebih mengutamakan “skin show” namun mujur Samantha dilihat lebih ceria dan konfiden.
Semoga jangan eksploitasi atau jadikan wakil ratu cantik negara sekadar objek seks dengan melebihkan elemen “skin show” sebaliknya berpeganglah kepada objektifnya, memperkasa wanita dan menghormati mereka.
Sekian, Terima kasih.