4 warga emas lemas dalam banjir di Pulau Pinang

4 warga emas lemas dalam banjir di Pulau Pinang

Dua mangsa korban terbaru ialah seorang wanita berusia 64 tahun dan seorang lelaki berusia 97tahun yang ditemui lemas di rumah masing-masing.

Anuar-Omar-lemas
GEORGE TOWN: Dua lagi warga emas, iaitu seorang lelaki dan wanita ditemui mati di rumah mereka di Jelutong dan Air Itam, di sini dipercayai lemas dalam kejadian banjir hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan mayat seorang wanita, Lau Guek Jee, 64, di rumahnya di Lilitan Hargreaves, Jelutong kira-kira 11 pagi tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama keluarganya, namun semasa kejadian mangsa berseorangan.

“Dipercayai mangsa gagal menyelamatkan diri ketika berlaku banjir di kawasan rumahnya dan mayatnya dijumpai jiran wanita berkenaan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mayat ke-2 iaitu seorang lelaki, Chong Sin Thon, 97, ditemui dalam rumahnya di Jalan Shaik Madar, Air Itam kira-kira 1 tengah hari.

Anuar berkata, warga emas itu tinggal bersendirian di rumah itu dan mayatnya ditemui jirannya yang pergi ke rumahnya untuk melihat keadaan mangsa.

“Saya menasihatkan orang ramai terus menghubungi polis atau bomba jika rumah mereka dinaiki air supaya kami dapat memindahkan mereka ke kawasan selamat,” katanya.

Sebelum ini, 2 mayat warga emas, iaitu Amanullah Shabib Kalandir, 75, dan Chew Eng Lean, 78, ditemui di rumah masing-masing di Jalan P Ramlee dan Jalan Perak, pagi tadi dipercayai lemas selepas gagal menyelamatkan diri.

Sementara itu, seramai 3,365 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir di 5 daerah di negeri ini sehingga 5 petang tadi.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Azman Hussin berkata, ketika ini, Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,974 di 25 pusat pemindahan di daerah berkenaan.

“Jumlah mangsa banjir di daerah Seberang Perai Utara (SPU) seramai 829 orang, Seberang Perai Selatan (25), Barat Daya (290) dan Timur Laut masih terdapat 247 mangsa.

“Ketika ini, 12 pusat pemindahan sementara banjir masih dibuka di 4 daerah berkenaan dan keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata, hanya daerah SPS air semakin naik di beberapa kawasan berikutan hujan lebat, manakala 4 daerah lain air mula surut walaupun cuaca mendung.

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2m hingga 1m dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak 2 petang semalam sehingga 5 pagi tadi.

Semua daerah di negeri ini ditenggelami air berikutan hujan lebat berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung fenomena air pasang di laut menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat.

2 warga emas maut dalam banjir di Pulau Pinang

Pulau Pinang lumpuh selepas hujan lebat lebih 15 jam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.