
Menteri besar Selangor itu berkata, Putrajaya memaklumkan penangguhan itu menerusi 2 surat yang dihantar Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, penangguhan itu juga dibuat selepas kerajaan negeri gagal mendapatkan sebutan harga bagi proses pengambilalihannya dari kerajaan pusat.
“Rundingan pengambilalihan Splash belum dimuktamadkan, justeru kerajaan negeri belum dapat sahkan nilai sebenar jumlah pengambilalihan isu air negeri.
“Kementerian berpandangan terdapat keperluan untuk melanjutkan tempoh pengambialihan yang mana tempoh untuk melanjutkan tempoh ini diminta kerajaan persekutuan.
“Justeru, kerajaan persekutuan menerusi surat dihantar kepada kerajaan negeri mencadangkan perjanjian jual beli saham dilanjutkan 9 bulan sehingga 4 Julai 2018 yang ditentukan sendiri oleh kerajaan persekutuan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Sulaiman Razak (BN-Permatang) mengenai tawaran kerajaan negeri untuk mengambil alih Splash.
Pengambilalihan itu sepatutnya selesai 5 Oktober lalu, dengan nilainya didedahkan pada hari sama.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, kerajaan negeri kecewa dengan hasil dapatan penilaian oleh panel penilai lantikan peringkat kerajaan persekutuan.
Katanya, kerajaan persekutuan sewajarnya lebih terbuka dan mengamalkan prinsip berintegriti demi menjaga kepentingan rakyat.
“Dalam surat bertarikh 21 September dari kementerian yang menegaskan peranan kerajaan persekutuan adalah sebagai pemudah cara dalam proses rundingan untuk pastikan harga ditawarkan itu berpatutan.
“Maka, kerajaan negeri ingin dapatkan pengesahan daripada kerajaan persekutuan berhubung nilai yang munasabah untuk ditawar kepada Splash berdasarkan hasil penilaian Deloitte.
“Kerana maklumat ini akan kita bentang dalam mesyuarat MMKN untuk pertimbangan kerajaan negeri, namun sehingga kini kita belum terima maklum balas daripada kerajaan persekutuan melalui KeTTHA,” katanya.
Ogos lalu, Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata, urusan pengambilalihan itu belum selesai dan rundingan kerajaan Selangor dengan Splash mengenai nilai pengambilalihan syarikat itu dibuat atas kerelaan penjual dan pembeli.
KeTTHA pada sidang Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu memaklumkan perjanjian yang ditandatangani pada 12 September 2014 menyatakan proses pemerolehan itu sepatutnya dimuktamadkan pada 7 Oktober 2016.
Bagaimanapun, tarikh itu dilanjutkan selama 6 bulan yang berakhir 6 April lalu dengan persetujuan pihak berkaitan, sebelum ia dilanjutkan bagi kali ke-2 untuk 6 bulan lagi sehingga 5 Oktober lalu kerana proses rundingan mengenai pengambilalihan itu belum dimuktamadkan.
KeTTHA berkata, kerajaan persekutuan belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan Selangor mengenai jumlah pinjaman untuk membiayai pemerolehan ekuiti dalam Splash.
Sebelum ini, Azmin dilaporkan menolak cadangan kerajaan persekutuan untuk mengguna pakai nisbah 60:40 bagi pemerolehan ekuiti Splash.
Di bawah cadangan itu, 60% pembiayaan daripada kerajaan persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad dan baki 40% oleh kerajaan Selangor.