
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata air mula naik sekitar Bandar Bukit Raja dan Taman Sungai Rasau kira-kira pukul 4.30 pagi.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ataupun penduduk di sekitar kawasan ini yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan berkata hujan lebat awal pagi tadi turut menyebabkan beberapa jalan utama di Klang dinaiki air dan terpaksa ditutup.
Beliau berkata jalan ditutup adalah susur keluar dari Plaza Tol Sungai Rasau menghala ke persimpangan lampu isyarat ke Lebuhraya Shapadu, Jalan Sungai Rasau, Kilometer 3.5 Lebuhraya Shapadu menghala ke Shah Alam, Jalan Rajawali, Klang dan Persiaran Sultan Ibrahim menghala ke Plaza Tol Lebuhraya Shapadu.
“Jalan dinaiki air tetapi masih boleh dilalui pula adalah di Jalan Meru, Klang berhampiran Hospital Columbia Asia.
“Laluan mengalami kesesakan teruk pula adalah selepas Plaza Tol Lebuhraya Shapadu sehingga ke persimpangan arah Shah Alam dan Lebuhraya Persekutuan, Persiaran Sultan Ibrahim, dan Jalan Meru,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, Mazelan menasihati pengguna jalan raya bersabar dan mengikuti arahan polis bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan terjejas.