Jangan buli, nasihat Zuraida selepas selesai kes saman Jamal

zuraida-jamal
Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengulas mengenai kes samannya terhadap Datuk Seri Jamal Md. Yunos berhubung insiden pukul pada 13 November 2016 lalu.

AMPANG: Sehari selepas kes saman fitnahnya ke atas Datuk Seri Jamal Yunos diselesaikan, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menasihatkan ketua Umno Sungai Besar itu bersikap lebih siuman dan tidak sesuka hati membuli pihak lain.

Beliau berkata teguran sama dibuat sewaktu perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Alhamdulilah, selepas kes itu, sewaktu dia buat tuduhan liar itu, memang banyak peguam yang telefon saya nak ambil kes ini sebab mereka yakin boleh menang.

“Bagi saya, menang bukan menjadi isu, tetapi prinsipnya. Jadi saya nasihat dan buat teguran pada Jamal di mahkamah sebelum ini, agar jangan melakukan perkara tidak siuman dan bukan-bukan. Saya minta dia jadikan pengajaran, jangan senang-senang buli orang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Zuraida menyaman Jamal yang memimpin kumpulan Baju Merah itu berhubung insiden pada 13 November 2016.

Melalui proses mediasi hampir 4 jam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kedua pihak menyelesaikan kes selepas Jamal menarik balik kenyataan ditujukan terhadap Zuraida.

Hakim Mahkamah Tinggi, S Nantha Balan berpuas hati dengan proses mediasi yang berjalan tanpa perlu melalui prosiding perbicaraan penuh.

Peguam Jamal, Mohammed Nasser berkata anak guamnya tidak membuat permohonan maaf sebaliknya hanya menarik balik kenyataannya, dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Zuraida berkata sekiranya diulangi, beliau tidak teragak-agak mengheret Jamal ke mahkamah.

“Kalau buat lagi, dia akan terima padah. Kita akan teruskan. Takkan biarkan orang macam ini merosakkan masyarakat,” katanya.

Dalam kejadian itu, Jamal mendakwa ditumbuk di mukanya ketika mengetuai penyokong Baju Merah yang mengekori Zuraida di Pusat Beli-belah Ampang Point.

Jamal dirakam dalam sebuah klip video menjerit beberapa kali “Polis pukul saya” dan menuduh penyokong Bersih mencederakannya.

Zuraida beri Jamal Yunos tempoh 48 jam minta maaf