Pembinaan lapangan terbang baharu di Perak akan dilaksana

Mohammad-Zahir_airport_600

IPOH: Perancangan mewujudkan lapangan terbang baharu di Perak bukan hanya cakap semata-mata sebaliknya usaha berterusan dilakukan bagi memastikan hasrat itu tercapai, kata Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri itu berkata bagi mewujudkan lapangan terbang baharu, perancangan teliti pelbagai aspek perlu dilakukan bersama pihak dan agensi berkaitan.

“Seperti perancangan pembinaan LCCT (Terminal Penerbangan Tambang Murah) di Lembah Beriah, Kerian kita sudah bentangkannya kepada Majlis Ekonomi Negara beberapa tahun lalu dan mendapat sokongan semua pihak.

“Bagaimanapun rancangan itu tertangguh kerana kerajaan persekutuan tidak mahu ia menjejaskan kepentingan (Lapangan Terbang Antarabangsa) Pulau Pinang, namun kita tidak pernah berputus asa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mendakwa kerajaan negeri mungkin sambil lewa untuk mempengaruhi kerajaan pusat membina lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Perak selepas mengambil alih pemerintahan daripada pembangkang.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata lapangan terbang baharu itu akan dibina tidak jauh dari Ipoh, serta tidak berhampiran dengan lapangan terbang yang sibuk seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau berkata pemilihan lokasi untuk membangunkan lapangan terbang baharu itu mengambil kira faktor kawasan pertumbuhan ekonomi selain kedudukan muka bumi yang sesuai untuk pembinaannya.

Mohammad Zahir berkata kerajaan negeri tidak pernah berputus asa mewujudkan lapangan terbang baharu malah terus merancang merealisasikannya kerana pembinaannya dapat merancakkan lagi sektor pelancongan dan industri di seluruh negeri.

Sehubungan itu, beliau yakin pembinaannya dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) kelak.