Ekonomi mengukuh, Musa umum peruntukan program rakyat naik 100%, bonus

musa-aman-ekonomi-sabahPETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini mengumumkan peningkatan 100% peruntukan khas untuk wanita, ibu tunggal, warga emas, orang kelainan upaya, belia dan masyarakat desa.

Peruntukan khas itu dinaikkan daripada RM53 juta kepada RM115 juta tahun depan, sebagai cerminan kepada prestasi kuat ekonomi negeri 4 tahun berturut-turut.

Peruntukan khas itu membiayai program baharu dan sedia baharu yang khusus untuk kumpulan sasaran dan dilaksanakan oleh semua kementerian, jabatan dan agensi negeri.

“Selain bertujuan memastikan lebih banyak program yang berorientasikan rakyat, peruntukan tambahan dan program baharu ini adalah tanda kesyukuran kita atas kejayaan peningkatan signifikan hasil kerajaan negeri yang ingin kita kongsi dan kembalikan kepada rakyat,” kata Musa.

Ia diumumkan dalam pembentangan Bajet Sabah 2018 di Dewan Undangan Negeri, Kota Kinabalu hari ini.

Agihan peruntukan itu antaranya RM5 juta untuk wanita dan ibu tunggal; RM6 juta untuk warga emas termasuk bantuan subsidi proses pecah geran tanah; dan RM8 juta untuk OKU termasuk menambahbaik kemudahan awam untuk memudahkan urusan harian OKU di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, dan geran keusahawanan.

Pentadbiran Musa turut mengumumkan bantuan khas kewangan RM1,500 kepada semua anggota perkhidmatan awam, 3 kali gandar bayaran tahun lalu. Bayaran akan dibuat secara 2 kali iaitu RM1,000 pada Januari 2018 dan RM500 menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

“Mereka ini adalah nadi utama jentera dan pentadbir perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, kerajaan negeri juga ingin membawa khabar gembira kepada para penjawat awam Sabah,” katanya.

Hasil turun padang

Musa berkata belanjawan hari ini adalah hasil pendekatan turun padang dan lawatan kerja pegawai kerajaan untuk menyiasat keperluan rakyat Sabah.

“Kita boleh memilih untuk sekadar menerima laporan dalam mesyuarat atau mendengar taklimat dalam pejabat yang berhawa dingin dan selesa, tentang apa yang berlaku di peringkat akar umbi, tetapi ini bukanlah cara kita.

“Pendekatan turun padang ini terbukti berjaya kerana ia membolehkan kita merasai denyut nadi rakyat dengan mendapatkan gambaran sebenar keadaan pembangunan di peringkat akar umbi dan melihat sendiri apakah masalah dan perkembangannya,” katanya.

“Kita turun untuk bekerja bukan saja-saja. Kita datang untuk berkhidmat bukan menabur kesumat. Kita datang untuk berbakti dengan rekod dan bukti,” kata Musa.