
Beliau berkata, Datuk Seri Najib Razak mengetengahkan isu mengenai Laut China Selatan pada Sidang Kemuncak Asean-China di Manila, sempena Sidang Kemuncak Asean ke-31 baru-baru ini.
“Pelaksanaan CoC perlu diteruskan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan.
“Kita berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam taklimat media pasca Sidang Kemuncak Asean ke-31 di sini.
CoC merupakan satu dokumen kod tatalaku negara anggota Asean dan China di Laut China Selatan. Ia merupakan satu daripada elemen yang dipersetujui negara Asean dan China melalui Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) untuk berusaha ke arah mewujudkan CoC.
Rangka Kerja CoC diperakui Ogos lalu semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean.
Sementara itu, Anifah berkata, perdana menteri juga mengetengahkan isu berhubung ujian pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara pada Sidang Kemuncak Asean dan sidang kemuncak berkaitan di Manila itu.
Beliau berkata, Malaysia berharap republik itu akan kembali ke meja rundingan dan mencegah Pyongyang meneruskan program senjatanya yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, pemimpin negara yang hadir menyuarakan ia adalah isu penting kerana ia akan menggugat keamanan dan kestabilan di rantau ini.
“Oleh itu, kita berharap Korea Utara menghormati resolusi-resolusi PBB. Kita berharap mereka akan kembali berunding di bawah Rundingan Enam Pihak.
“Kita menaruh harapan China dapat mempengaruhi Korea Utara,” katanya.
Sementara itu, Anifah berkata, Najib disokong Presiden Indonesia, Joko Widodo juga membangkitkan isu diskriminasi Parlimen Eropah ke atas pemasaran kelapa sawit ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) pada Sidang Kemuncak Asean-EU yang turut dihadiri Presiden EU, Donald Tusk.
Menurutnya, isu kelapa sawit akan menjejaskan lebih 600,000 pekebun kecil di Malaysia, manakala di Indonesia terdapat lebih 17.5 juta pekebun kecil yang akan terjejas.
Beliau berkata, Presiden EU memberi jaminan peribadi untuk meneliti perkara tersebut serta mencari pendekatan yang boleh diambil dalam jangka pendek.
Secara kolektif, Malaysia dan Indonesia menyumbang lebih RM57 bilion pengeluaran minyak sawit global tahun lalu.
April lalu, Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.
Ketetapan itu menekankan keperluan pensijilan tunggal pasaran eksport minyak sawit ke Eropah yang perlu dihasilkan secara lestari tanpa melibatkan aktiviti penebangan hutan dan resolusi itu turut melabelkan skim pensijilan sedia ada sebagai tidak memenuhi syarat dan piawaian antarabangsa.