Azalina gesa pembangkang terima hakikat kalah, tak perlu kecoh

azalina-parlimen

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa ahli Parlimen pembangkang menghormati keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Katanya, pembangkang seolah-olah tidak boleh menerima keputusan itu apabila kalah dengan majoriti tipis sehingga menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat, malam tadi.

“Cubaan pembangkang menggagalkan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui undi belah bahagian nyata tidak berjaya, apabila anggaran perbelanjaan untuk kementerian tersebut diluluskan dengan ‘simple majority’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, RUU itu diluluskan dengan perbezaan 1 undi, di mana 52 undi menyokong, 51 undi menentang dan 3 ahli Parlimen tidak mengundi.

Keputusan yang diumumkan Ronald itu mengundang kemarahan ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa berlaku penipuan semasa proses pengundian.

Sewaktu loceng undi belah bahagian dibunyikan, kebanyakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak kelihatan dalam Dewan Rakyat.

Walaupun selepas loceng yang dibunyikan selama 2 minit berakhir, masih ada ahli Parlimen BN berlari ke dalam Dewan Rakyat untuk mengundi.

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut), Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) kemudiannya menjerit “tipu” kepada Ronald.

Antara wakil rakyat yang didakwa lewat memasuki Dewan tetapi dibenarkan mengundi adalah Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah), Azalina (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

Azalina berkata, keputusan undi belah bahagian membuktikan sistem demokrasi di Dewan Rakyat terus subur dan kekecohan itu tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Anggota Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses ini dijalankan mengikut prosedur yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Saya percaya semua anggota Parlimen akan terus menjaga nama baik Dewan yang mulia.”

RUU perbekalan KPDNKK lulus dengan laungan ‘tipu’