
Peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi, mewakili Abang Ahmad Kerdee memberitahu pemberita, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu di kamarnya semasa kes itu disebut di hadapannya hari ini.
Turut hadir ialah Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang bertindak bagi pihak Md Raus selaku responden.
Abang Ahmad Kerdee selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 November lepas bagi menuntut deklarasi mengatakan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos 2017 di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.
Pemohon juga menuntut agar diberi kebenaran mendapatkan ”Writ Quo Warranto” supaya responden menunjukkan sebab dan memberikan pengesahan bagaimana dan apakah asas responden memegang jawatan berkenaan.
Beliau juga menuntut perintah certiorari membatalkan pelantikan responden sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan dan ketua hakim negara juga perintah injunksi bagi menghalang responden dan atau ejen beliau melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas beliau sama ada sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan atau ketua hakim negara.