Harga minyak hanya naik 1 sen sejak Mac 2017, kata Rahman Dahlan

Harga minyak hanya naik 1 sen sejak Mac 2017, kata Rahman Dahlan

Harga minyak naik kepada RM0.83 sen sejak apungan harga secara mingguan 21 minggu lalu, tetapi ada tempoh 13 minggu minyak turun kepada RM0.82 sen.

rahman-dahlan
KUALA LUMPUR: Harga produk petroleum secara keseluruhan hanya naik 1 sen sejak kerajaan menyelaraskan harga secara mingguan bermula Mac 2017 lalu, kata Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sejak keputusan untuk mengapungkan harga minyak 21 minggu lalu, jumlah harga minyak yang naik adalah sebanyak RM0.83 sen.

“Tetapi pada masa sama kita juga umumkan 13 minggu harga minyak turun kepada RM0.82sen. Bermakna, harga keseluruhan hanya naik 1 sen sejak apungan secara mingguan,” katanya di sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Rahman menjawab Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang memintanya menyatakan langkah strategik kerajaan mengurangkan impak kenaikan harga minyak.

Semalam, harga runcit mingguan bagi petrol RON95 turun 8 sen, menjadi RM2.30 seliter dari RM2.38, manakala petrol RON97 pula turun 8 sen, menjadi RM2.58 daripada RM2.66 seliter. Harga diesel turun 2 sen, menjadi RM2.23 berbanding RM2.25 sebelumnya.

Abdul Rahman akui kenaikan harga minyak merupakan faktor yang meningkat indeks inflasi di dalam negara dan kenaikan harga barangan utama.

“Memang kita akui, kenaikan harga minyak memberi tekanan kepada inflasi, itu memang kita tidak boleh nafikan. Kerajaan tidak membuat lindung nilai secara terus.

“Namun, kesukaran berlaku. Sebagai contoh, apabila kita berdepan (harga minyak) RM2.50 seliter, kita akan hadapi satu dilema sama ada kita tambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dengan ini mengurangkan kos sara hidup.

“Tetapi, kita tidak dapat mengawal inflasi, kerana harga minyak akan naik ke RM2.50 dan ia akan menyebabkan harga barang naik,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kerajaan akan pertimbangkan untuk meningkatkan jumlah pemberian BR1M sekiranya harga bahan api petroleum melebihi RM2.50.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.