
RUU yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said itu bertujuan meminda subseksyen 39B(2) Akta 234 untuk memberi mahkamah kuasa menjatuhkan hukuman mati, pemenjaraan seumur hidup dan sebatan minimum 15 kali bagi kesalahan pengedaran dadah.
Jenis bantuan untuk menggendalakan aktiviti pengedaran dadah di dalam atau luar negara itu termasuk pemberian maklumat yang membawa kepada penahanan atau pendakwaan pihak terbabit dalam kegiatan itu.
“Di bawah Akta 234 sedia ada, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan pengedaran dadah berbahaya hendaklah dihukum dengan hukuman mati.
“Dengan cadangan pindaan ini, tanpa perakuan bertulis pendakwa raya, mahkamah tidak boleh menjalankan kuasanya untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang yang disabitkan pemenjaraan seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali,” katanya ketika membentangkan RUU itu pada sesi aturan urusan mesyuarat dan usul.
Pada 7 Ogos lalu, Azalina dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju membenarkan hakim menjatuhkan hukuman lebih sesuai ke atas pengedar dadah dan bukannya hukuman mati melalui satu pindaan kepada Seksyen 39B.
Dulu, katanya, hakim terpaksa menjatuhkan hukuman mati ke atas pengedar dadah kerana tiada hukuman lain diperuntukkan.