Marina: Saudi punca Arabisasi di Malaysia, budaya tempatan hilang

marinaPETALING JAYA: Datin Paduka Marina Mahathir mengaitkan pemikiran dan dasar Islam tegas yang semakin berkembang di pelbagai peringkat kerajaan serta masyarakat, dengan pengaruh Arab Saudi.

Pengasas Sisters In Islam (SIS) itu berkata, fenomena itu menyumbang kepada kehilangan elemen budaya tempatan yang digantikan dengan budaya dari Timur Tengah.

“Ada idea mengatakan anda ialah umat Islam lebih baik jika anda lebih Arab. Itu penghapusan warisan budaya kita yang sangat nyata.

“Budaya Arab sedang tersebar dan saya menyalahkan sepenuhnya ke atas Arab Saudi,” kata aktivis sosial yang juga anak sulung bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu kepada Asia Times hari ini.

Asia Times melaporkan terdapat petunjuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanfaatkan hubungannya dengan Raja Saudi, Raja Salman Abdul Aziz bagi meningkatkan kedudukannya untuk meraih sokongan golongan tegar agama, kumpulan Melayu berhaluan kanan dan pengundi Islam konservatif di luar bandar.

Menurut laporan itu, pengkritik mendakwa beliau mengawasi “Arabisasi” Malaysia, termasuk membenarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat untuk meningkatkan hukuman jenayah syariah.

Dalam satu laporan berdasarkan pemerhatian awal hasil lawatan 11 hari ke Malaysia dari 11 hingga 21 September lalu, wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) mengenai hak kebudayaan, Karima Bennoune mendapati wujud percanggahan ketara antara penolakan vokal kerajaan terhadap fundamentalisme dan ekstremisme Islam, dengan “Islamisasi meluas dalam masyarakat dan tatanegara Malaysia berdasarkan penafsiran Islam yang keras dan fundamentalis.

“Adalah penting untuk mempersoalkan sebab di sebalik percanggahan ketara antara retorik dan realiti sebenar yang diceritakan ramai orang serta kesannya kepada hak kebudayaan.”

Bennoune juga terdengar laporan mengenai kesukaran dihadapi pembela hak asasi manusia dan orang lain apabila mereka cuba mencabar fundamentalisme, mempertahankan kepelbagaian budaya Islam dan mempromosikan hak kebudayaan.

Menurut laporan Asia Times, Bennoune merujuk jangkauan lama pengaruh budaya Arab Saudi mungkin disebabkan kemasukan pembiayaan minyak selama beberapa dekad melalui masjid dan madrasah yang mempromosikan doktrin fahaman Wahabi fundamentalis Saudi.

Ia turut menyatakan peningkatan peranan ulama dilatih di Arab Saudi yang menyertai sektor awam dan agensi agama di Malaysia.

Julai lalu, Najib mengumumkan peruntukan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

KSCIP diilhamkan susulan kunjungan Raja Salman ke Malaysia pada Februari lalu dan penyertaan Najib dalam sidang kemuncak di Riyadh yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Antara yang terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang akan bekerjasama dengan sebuah institut di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Markaz Harb Fikriah (Pusat Peperangan Ideologi).

Turut terlibat ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan yang aktif dalam kegiatan dakwah di seluruh dunia, tetapi mengundang kontroversi berkaitan penyebaran fahaman Wahabi, aliran Islam yang menjadi pegangan pihak berkuasa Arab Saudi untuk sekian lama.

Sudah bertahun lamanya MWL bertindak sebagai lidah dan jurucakap dasar Riyadh di negara Islam lain.

Dengan dilimpahi wang Saudi selama beberapa dekad, ia membiayai pembinaan pusat Islam berskala besar di bandar raya Eropah dan mempromosi kegiatan dakwah Islam di Asia dan Afrika.