
Katanya, langkah yang harus dilakukan adalah mengawal kewujudan puak-puak dalam kalangan umat Islam selain menghalang penyebaran kumpulan pengganas bentuk baharu.
Katanya, umat Islam bertanggungjawab menjelaskan idea dan kaedah bagi melindungi masyarakat Islam di negara Asean daripada bahaya dengan berpegang kepada ajaran Islam.

“Perlu diingatkan kejayaan kita bergantung pada kekuatan, perpaduan dan hubungan ukhwah dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. Cabaran terbesar adalah mencari jalan mengubah persepsi terhadap pegangan Ahli Sunah dengan memberi mereka pengetahuan dan mendidik mereka secara jelas mengenai Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Muktamar Khayr Ummah 2017 (KUC 2017) hari ini.
Dalam perkembangan sama, Zahid berkata Malaysia menuntut Myanmar menyelesaikan segera isu penindasan ke atas etnik pelarian Rohingya sebelum ia bertambah parah.
Beliau bagaimanapun berkata Malaysia tidak memusuhi Myanmar kerana kedua-duanya negara anggota Asean, namun isu itu harus diselesaikan segera kerana ia memberi kesan kepada rantau Asean.
“Kita tuntut Myanmar selesaikan isu Rohingya,” katanya.
Muktamar bertemakan “Manhaj Ahli Sunah Menyatukan Asean” itu pertama kali dianjurkan di Asean. Pemilihan tema itu selari dengan visi perdana menteri yang mahu merealisasikan konsep “Khayr Ummah” atau sebaik-baik umat.
KUC 2017 diadakan selama 2 hari di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur bermula semalam dengan pembentangan beberapa kertas kerja berdasarkan 4 tema utama termasuk pelaksanaan konsep kesederhanaan dan ancaman terhadap kemampanan konsep itu.
Sebanyak 30 kertas penyelidikan dibentangkan pada KUC 2017 yang disertai kira-kira 1,200 peserta dari beberapa negara termasuk Arab Saudi, Filipina, Thailand, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Laos.
KUC 2017 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Hal Ehwal Khas, Pertubuhan Al-Khadeem Malaysia dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia manakala Universiti Teknologi Mara berperanan sebagai penyelaras program.
Selain pembentangan kertas kerja, turut diadakan juga pameran yang disertai pelbagai agensi, jabatan dan institusi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta yang terlibat secara langsung dalam KUC 2017.
Menerusi muktamar itu sebanyak 12 resolusi dicapai dan antaranya mengekang aktiviti keganasan yang mengaitkan umat Islam.
Turut hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.