
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pegawainya membuat laporan di Balai Polis Putrajaya, semalam.
“Laporan polis sudah dibuat semalam di Putrajaya oleh pegawai SPRM,” katanya ringkas ketika dihubungi FMT menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Sementara itu, portal Sinar Online memetik Ketua Polis Negera, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan itu.
Semalam, Azam dalam kenyataannya memaklumkan SPRM memandang serius kebocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes berkenaan.
Katanya, kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh sudah diberikan kepada peguam bela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada bagi tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.
SPRM mengeluarkan kenyataan itu selepas satu laman web memuat naik “kenyataan” seorang individu dalam siasatan itu yang mengaitkan seorang lagi ahli politik Johor dengan suapan jutaan ringgit untuk menukar status lot perumahan Bumiputera.
April lalu, Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi didakwa atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan suapan RM30.3 juta.
Dia disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dalam skandal melibatkan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera melibatkan beberapa pemaju di Johor.
SPRM sebelum ini menyita 45 akaun bank berjumlah RM15.5 juta, di samping merampas 26 kenderaan dan motosikal mewah serta dokumen.
SPRM lapor polis selepas dokumen siasatan kes bekas exco Johor bocor