
Patut diingati, agama Yahudi, Kristian dan Islam, ketiga-tiganya berasal daripada sumber yang sama.
Di tengah-tengah Baitulmaqdis adalah Kota Lama yang mempunyai jalan-jalan kecil dan seni bina bersejarah yang memaparkan 4 penduduk besarnya iaitu Kristian, Islam, Yahudi dan Armenia. Ia dikelilingi dinding batu seperti kubu dan menempatkan beberapa tapak yang dianggap paling suci di dunia. Setiap kawasan mewakili penduduknya tersendiri.
Islam
Kawasan orang Islam adalah paling besar berbanding 3 yang lain. Di situ terdapat Kubah Emas dan Masjid Al-Aqsa di dataran yang dikenali orang Islam sebagai Haram al-Sharif.
Bagi umat Islam, Baitulmaqdis adalah kiblat pertama. Kemudian, Nabi Muhammad diarahkan menukar arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Mekah, seperti terkandung dalam Al-Quran, 2:142-144.
Umat Islam memetik hadis Nabi Muhammad: “Jangan bersusah payah mengadakan perjalanan kecuali ke 3 masjid ini, Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa.”
Itu menjadikan Baitulmaqdis salah satu tempat paling suci di bumi untuk umat Islam.
Baitulmaqdis adalah tempat yang dikunjungi Nabi Muhammad pada peristiwa Israk Mikraj. Menurut satu versi peristiwa tersebut, malaikat Jibril mengambil Nabi Muhammad dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. Baginda kemudiannya diangkat ke arasy dan ditunjukkan bukti-bukti kewujudan Tuhan.
Pengalaman itu yang umat Islam percaya sebagai satu mukjizat, terjadi dalam masa beberapa jam. Kejadian Israk Mikraj turut disebut pada ayat pertama dalam Surah Al-Isra, atau “Keturunan Bani Isra’il”.
Kristian
Tempat Kristian di Baitulmaqdis pula terbahagi kepada 2, kerana bangsa Armenia di sana juga penganut Kristian, dan tempat mereka, iaitu yang terkecil di situ, adalah antara penempatan Armenia tertua di dunia.
Apa yang unik adalah masyarakat mereka telah memelihara budaya dan peradaban mereka dalam biara dan Gereja St James yang mana kebanyakannya terdiri daripada bahagian mereka.
Di tempat penganut Kristian adalah Gereja Makam Suci, tumpuan signifikan buat penganut Kristian seluruh dunia. Ianya terletak di tempat yang menurut cerita, berdekatan tempat Nabi Isa dipercayai meninggal dunia, disalibkan dan tempat kebangkitannya.
Menurut kebanyakan tradisi Kristian, Nabi Isa disalibkan di Golgota, di bukit Calvary, dan batu nisannya terletak dalam makam suci itu. Di situ juga adalah tempat kebangkitannya.
Gereja itu diurus secara bersama oleh wakil mazhab Kristian yang berbeza terutamanya Patriarkat Ortodoks Yunani, rahib Fransiskan dari Gereja Katolik Roman, dan Patriarkat Armenia, di samping wakil Gereja Ortodoks Etiopia, Koptik dan Syria.
Ianya antara destinasi utama buat penganut Kristian seluruh dunia yang melawat makam kosong Nabi Isa dan beribadat mencari ketenangan dan keampunan di tempat tersebut.
Yahudi
Tempat penganut Yahudi adalah di mana terletaknya Kotel atau Dinding Barat, tinggalan di mana Kuil Suci dahulu didirikan.
Dalam kuil itu adalah tempat paling suci buat penganut Yahudi.
Penganut Yahudi percaya lokasi ini adalah terletaknya batu asas ketika dunia diciptakan dan di mana Nabi Ibrahim bersedia menyembelih anaknya Nabi Ismail. Ramai penganut Yahudi percaya ianya tempat paling suci.
Hari ini, Dinding Barat itu paling berdekatan dengan tempat paling suci itu bagi penganut Yahudi beribadat.
Ianya diuruskan oleh rabai dari Dinding Barat dan setiap tahun menerima berjuta pengunjung.
Yahudi seluruh dunia berkunjung ke tempat ini untuk beribadat dan dan melihat sendiri warisan agama mereka, terutamanya pada cuti Paskah Yahudi.