
Setiausaha Agung PBS Johnny Mositun memberitahu FMT semasa pentadbirannya, Dr Mahathir diberi semua kebebasan untuk menjalankan tugas sebagai perdana menteri dan sangat dihormati oleh mereka yang bekerja di bawahnya.
“Sekarang, Dr Mahathir tak patut ganggu Najib bekerja. Kalau Dr Mahathir ikhlas, bekerjasamalah dengan Najib untuk pulangkan hak Sabah dan Sarawak.”
Mositun mengulas ucapan Dr Mahathir di mesyuarat agung tahunan pertama PPBM pada Sabtu di mana negarawan itu mengambil peluang itu untuk mengkritik Najib dan kerajaan persekutuan.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Dr Mahathir memohon maaf atas kesilapan lampau yang pernah dibuatnya semasa menjadi perdana menteri.
Mositun mengalu-alukan permohonan maaf itu tetapi menegaskan sekiranya Dr Mahathir ikhlas, beliau perlu bertaubat dan menghentikan semua tindakan mengarutnya, termasuk melawan BN, yang beliau sendiri bantu bina.
Tambahan pula, beliau berkata permohonan maaf harus ditujukan kepada rakyat Sabah yang banyak menderita kerana Projek IC.
“Sekiranya dia ikhlas, dia patut dedahkan semua nama yang terlibat dalam Projek IC dan orang yang menerima manfaat daripada kad-kad pengenalan itu,” katanya.
Projek IC suatu operasi, semasa pentadbiran Dr Mahathir, yang dikatakan telah membanjiri Sabah dengan pendatang tanpa izin yang dijanjikan kewarganegaran Malaysia.
Pada sidang media 4 tahun lalu, Dr Mahathir mengakui beliau memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing dari selatan Filipina tetapi mempertahankan tindakannya kerana ia dibuat mengikut undang-undang.
Sentimen Mositun dalam isu itu turut dikongsi pemangku presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau yang berkata Sabahan tidak akan melupakan Dr Mahathir kerana projek IC menjejaskan Sabah dan rakyatnya secara kekal.
“Dia tidak pernah mohon maaf kerana projek itu. Ucapan semalam juga tidak menyentuh bagaimana dia akan membetulkan kerosakan ini.
“Malah, ucapan semalam sama sekali tidak menyentuh isu Sabah dan Sarawak – sepertimana dia mengabaikan kita semasa dia menjadi perdana menteri.”
Tangau menganggap ketidakpedulian terhadap Sabah dan Sarawak bermakna trend Dr Mahahir melayan Sabah dan Sarawak seperti anak yatim yang tidak diingi akan diteruskan sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-14.
Oleh itu, beliau menggesa rakyat Sabah mesti menolak Dr Mahathir dan sekutunya di Sabah, termasuk DAP, PKR dan Parti Warisan Sabah.
Mengulas janji Dr Mahathir mengurangkan pekerja asing sehingga 5 juta orang sekiranya PH menang, Tangau tertanya-tanya siapakah yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan pekerja asing itu kerana buat masa ini, hanya ada 500,000 orang rakyat Malaysia yang menganggur.
Mengurangkan pekerja asing sebanyak itu bermakna akan ada kekurangan 4.5 juta pekerja.
“Tiada jaminan orang tempatan mahu melakukan kerja ‘kotor, bahaya atau sukar’ yang dikosongkan oleh pekerja asing.
“Itu cuma janji populis oleh PPBM yang tidak mempunyai strategi untuk penuhinya.
“Bagaimanapun, saya harap idea Dr Mahathir ialah tidak melakukan Projek IC 2.0 untuk menggantikan kekurangan 4.5 juta pekerja dengan memberikan kewarganegaraan kepada pekerja asing.”