Zunar mohon mahkamah batal pengharaman buku

zunar-sapuman

PETALING JAYA: Kartunis politik, Zunar hari ini memfailkan permohonan bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan bukunya yang diterbitkan 3 tahun lalu.

Berdasarkan dokumen mahkamah, beliau mendakwa tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku “Sapuman: The Man of Steal” tahun lalu dilakukan atas niat jahat dan beliau tidak dimaklumkan secara bertulis mengenainya.

“Saya terkejut mengetahui kementerian mengharamkan buku saya, walaupun ia sudah dijual sejak 2015.

“Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim menerusi kenyataan media (pada 9 Oktober) berkata, buku saya dilarang kerana kartunnya dianggap memudaratkan ketenteraman awam,” katanya dalam afidavitnya.

Dalam warta bertarikh 3 Oktober 2017, KDN menyatakan “Sapuman” diharamkan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque mendakwa disebabkan pengharaman itu, beliau hilang punca pendapatan daripada jualan buku berkenaan.

“Mereka turut menafikan hak kebebasan bersuara saya di bawah Perlembagaan Persekutuan.”

Sehubungan itu, beliau memohon perintah mahkamah untuk membatalkan larangan ke atas “Sapuman” kerana melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Perkara 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan asasi individu.

Zunar ketika dihubungi FMT berkata, “Sapuman” adalah buku ke-9 beliau yang diharamkan kerajaan dalam tempoh 8 tahun sejak 2010.

“Tahun lalu sahaja, 3 buku saya diharamkan.”

“Sapuman” menghimpunkan koleksi karikaturnya pada 2015.

Zunar sebelum ini mencabar keputusan kerajaan mengharamkan 2 bukunya bertajuk “1 Funny Malaysia” dan “Perak Darul Kartun” pada 2010.

Mahkamah Rayuan membatalkan pengharaman itu pada 2014 dan memerintahkan kerajaan memulangkan buku yang dirampas.

KDN perinci alasan pengharaman 22 buku