Letupan kedengaran, gereja dan kuil di Kelantan diserang

Letupan kedengaran, gereja dan kuil di Kelantan diserang

Polis mengesyaki kes itu dilakukan suspek sama kerana polis menemui 2 tong penapis air yang dicampak ke gereja Methodist dan Kuil Subramaniyar yang terletak bersebelahan di Jalan Hamzah, Kota Bharu.

Hasanuddin-Hassan1
KOTA BHARU: Polis Kelantan akan melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian khianat terhadap 2 pusat ibadat membabitkan sebuah gereja dan kuil Hindu di Jalan Hamzah di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian tersebut disedari penjaga gereja Methodist itu pada 12 tengah malam tadi, selepas mendengar satu letupan berlaku di tingkat atas bangunan tersebut.

“Penjaga gereja itu kemudiannya ke tingkat 2 gereja dan mendapati cermin pusat ibadat itu pecah, selain menemui 1 tong penapis air yang mempunyai kesan terbakar,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Hasanuddin berkata, siasatan awal mendapati penapis air berkenaan dicampak suspek yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Livina daripada laluan bertingkat ke Pasir Pekan.

Beliau berkata, dalam satu lagi kejadian yang berlaku hampir serentak, polis turut menemui sebuah lagi tong penapis air yang dicampak di dalam Kuil Subramaniyar bersebelahan gereja tersebut, yang disyaki dilakukan suspek sama.

Hasanuddin berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes itu bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis Kota Bharu dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana khianat tempat ibadat.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada rombongan Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan yang diketuai pemangku Presidennya, Datuk Seri Zukri Samat.

Dalam majlis tersebut, pihaknya turut menerima sumbangan cek RM20,000 bagi pembinaan tandas di Balai Polis Kubang Kerian, selain untuk membaik pulih 3 surau membabitkan surau IPK, surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan surau Balai Polis Kota Bharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.