Inspektor mengaku tak bersalah terima rasuah RM3,000

Inspektor mengaku tak bersalah terima rasuah RM3,000

Tertuduh didakwa menerima wang tunai daripada seorang koperal yang mewakili bapa suspek yang ditangkap memiliki dadah dan termasuk dalam urinnya.

sprm-bebas-tahanan-sabah
KUALA TERENGGANU: Seorang inspektor polis mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 sebagai dorongan bagi meringankan kesalahan seorang individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada Februari 2016.

Tertuduh, Lee Beng Oui, 37, yang berkhidmat di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dituduh menerima wang tunai itu daripada Koperal Aziz Abdullah yang mewakili Asmadi Ali, bapa kepada Firdaus Asmadi yang ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana urin mengandungi dadah.

Lee didakwa menerima suapan itu pada pukul 11.45 malam di hadapan rumah di No 1, Blok Ezora, Perumahan Polis (PDRM) Bukit Mentok, Kemaman, 29 Februari 2016 bagi meringankan kesalahan Firdaus kepada satu sahaja iaitu urin mengandungi dadah.

Pertuduhan ke atas Lee dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atau Akta 694 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum 5 kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan 21 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.