Kes Indira beri peluang Zahid tunjuk kepimpinan, kata Zaid

Kes Indira beri peluang Zahid tunjuk kepimpinan, kata Zaid

Bekas menteri itu berkata timbalan PM itu perlu tampil memastikan undang-undang dipatuhi, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan.

zaid-zahid
PETALING JAYA: Bekas menteri Datuk Seri Zaid Ibrahim berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas polis, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu ke depan dalam memastikan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya dikuatkuasakan.

Katanya, menteri dalam negeri itu perlu memastikan undang-undang dipatuhi, di sebalik hubungan rapat beliau dengan kumpulan Islam yang mengkritik penghakiman itu.

“Zahid terkenal dengan hubungan rapatnya dengan ‘elemen Islam’ dan badan bukan kerajaan Islam, dan beliau harus memastikan mereka menerima keputusan mahkamah itu,” katanya dalam tulisan blog miliknya.

“Apa pun, seseorang dengan jawatan kedua tertinggi yang berhasrat memegang jawatan tertinggi mestilah sanggup menunjukkan ketegasannya dalam waktu krisis, jadi ini adalah peluang baik untuk beliau menunjukkan kepimpinannya,” tulisnya.

Seruan Zaid itu susulan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang berkata pihak berkuasa perlu berhati-hati memburu bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dalam menguatkuasakan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, kerana bimbang akan berlaku keganasan agama.

Beberapa kumpulan lain termasuklah mufti turut mengkritik keputusan itu mengatakan ia satu penghinaan kepada status Islam dalam perlembagaan.

Isnin lalu, mahkamah mengenepikan penukaran agama sebelah pihak yang melibatkan 3 anak Indira, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapatkan persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Mahkamah juga memerintahkan hanya mahkamah sivil boleh memberi keputusan dalam hal seperti itu.

Keputusan itu mengakhiri pertarungan selama 9 tahun mengenai hak penjagaan antara agama, susulan tindakan Riduan yang masuk Islam sebelum menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka pada 2009.

Anak bongsu pasangan itu, Prasana Diksa, masih berada bersama-sama Riduan, walaupun mahkamah sudah memerintahkan anak itu diserahkan kepada bekas isterinya.

Zaid berkata seruan PUM ke atas polis itu tidak wajar sebagai orang Islam, “apatah lagi mereka yang menggelar diri mereka ulama”.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghormati keputusan itu.

“Ia juga akan membenarkan perdana menteri memperkenalkan semula Seksyen 88A Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang diabaikan pada sidang Parlimen yang lalu,” kata Zaid, merujuk kepada fasal melarang penukaran agama sebelah pihak terhadap golongan bawah umur.

Kes Indira: Penasihat Amanah kata mahkamah harus utamakan bapa

Najib minta semua hormat keputusan penukaran agama anak Indira

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.