Hadi: Islam tiada kasta, ulama tak suci seperti paderi

hadi-awangPETALING JAYA: PAS tidak berhasrat melaksanakan sistem kasta agama di negara ini kerana Islam melarang kasta yang menyaksikan golongan ulama tidak suci dan perlu bertaubat jika melakukan dosa.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik portal rasmi PAS, Harakahdaily sebagai berkata, Islam sudah menghapuskan kasta, tidak seperti agama lain yang mengamalkan kasta dengan menganggap paderi suci.

Presiden PAS itu berkata, Islam menentang diktator dan teokrasi yang menjadikan agamawan sebagai pemimpin mutlak, tetapi agama itu mengawasi demokrasi.

“Demokrasi itu hak rakyat. Tapi rakyat jangan dibeli. Rakyat jangan dipengaruhi. Kalau majoriti rakyat yang jahil dipengaruhi, demokrasi dah jadi tak betul. Islam menguasai demokrasi,” katanya dipetik Harakahdaily.

Hadi turut menafikan beliau pernah mencadangkan penubuhan 2 Kabinet yang diasingkan kepada Islam dan bukan Islam, jika PAS berjaya menguasai Putrajaya.

Beliau berkata, apa yang dikatakannya ialah pembahagian tugas yang biasanya berlaku dalam kerajaan.

“Dua kabinet itu tak betul. Bukan 2 kabinet. Pembahagian tugas. Biasalah dalam kerajaan, ada menteri, timbalan menteri, perdana menteri, menteri tugas-tugas Khas.

“Ada menteri yang dia pantau kementerian-kementerian. Itu biasakan pembahagian? Bukan 2 kabinet, itu dia tak faham, tak faham ulasan saya, tak faham.”

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Kabinet yang dimaksudkannya terdiri daripada mereka yang mengamalkan ideologi negara dan sebaliknya.

“Dalam negara moden hanya mereka yang menganut idealogi negara sahaja boleh jadi menteri Kabinet. Kalau Demokrat, semua Demokrat. Republikan, semua Republikan. Barisan Nasional, semua Barisan Nasional.

“Kalau kita kerajaan teknokrat, orang kanan yang lain boleh jadi menteri, dia ada kepakaran.

“Itu kena faham. Bukan makna 2 (Kabinet), itu tak, ulasan itu tak kena.”

Ahad lalu, ada portal berita melaporkan Hadi mencadangkan penubuhan 2 Kabinet, iaitu pemimpin Islam berperanan membuat keputusan mengenai dasar negara, manakala bukan Islam pula bertanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan.