Amah mati didakwa didera: Warga emas ditahan polis

Amah mati didakwa didera: Warga emas ditahan polis

Laporan bedah siasat mendapati Adelina mati disebabkan kegagalan organ badan kerana kekurangan darah dan dipercayai diabaikan keluarga berkenaan.

women_polis_50
BUKIT MERTAJAM:
Polis menahan seorang lagi wanita bagi membantu siasatan berhubung kes pembantu rumah Indonesia mati selepas didakwa didera di Taman Kota Permai 2, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita berumur 60 tahun itu ditahan di depan sebuah bangunan di Jalan Green Hall, George Town kira-kira 2.30 petang tadi.

“Selepas Adelina meninggal dunia semalam, kami mencari warga emas terbabit yang juga ibu kepada 2 beradik yang ditahan sebelum ini di rumah mereka di Taman Kota Permai 2, namun dia tiada, dipercayai disembunyikan oleh anak-anaknya bagi mengelak ditahan.

“Wanita itu juga tinggal di rumah yang sama dan difahamkan turut memukul pembantu rumah berkenaan,” katanya hari ini.

Adelina Jerima Sau, 21, mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada kira-kira 4.45 petang semalam dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Adelina ditemui kira-kira 8.00 malam Sabtu selepas polis menerima laporan daripada pembantu Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim dan ekoran itu polis menahan seorang lelaki, 39 dan adik perempuannya, 36, yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Nik Ros Azhan berkata wanita warga emas itu akan direman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.

Beliau berkata laporan bedah siasat ke atas pembantu rumah itu mendapati dia mati disebabkan kegagalan organ badan kerana kekurangan darah dan dipercayai mangsa diabaikan keluarga berkenaan.

Polis tidak menolak kemungkinan selain didera dengan dipukul dan ditampar, pembantu rumah itu turut diabaikan kesihatannya termasuk tidak diberi makanan dan tempat tinggal yang sempurna sejak beberapa bulan lepas, katanya.

“Setakat ini, polis telah merekod keterangan beberapa orang saksi termasuk jiran majikan mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memanggil beberapa lagi orang antaranya doktor dan kenalan majikannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Konsulat Indonesia: Amah tak mengadu didera sebelum maut

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/11/amah-tidur-dengan-anjing-rottweiler-selama-2-bulan-maut/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.