Kes bunuh T Nhaveen dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes bunuh T Nhaveen dipindah ke Mahkamah Tinggi

Pada prosiding hari ini ibu Nhaveen turut hadir untuk ikuti perkembangan kes bunuh anak lelakinya yang berumur 18 tahun ketika kejadian.

Nhaveen_dead_600
GEORGE TOWN:
Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan kes 4 remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh mangsa buli T Nhaveen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin memindahkan kes itu.

Pada prosiding hari ini, Ibu Nhaveen turut hadir di mahkamah untuk mengikuti perkembangan kes bunuh anak lelakinya yang berumur 18 tahun ketika kejadian. Ahli keluarga keempat-empat tertuduh juga hadir.

Pada 19 Jun tahun lepas, 4 remaja termasuk pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 pada masa itu, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen.

J Ragesuthen dan S Gokulan, masing-masing berusia 19 tahun, serta 2 lagi remaja lelaki didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama antara 11.00 malam dan 12.00 malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor pada 9 Jun tahun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Hakim Irwan Suainbon menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi 4 remaja terbabit yang menghadapi pertuduhan mencederakan T Preevin,19, yang merupakan rakan Nhaveen.

Irwan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul memberitahu mahkamah terdapat dokumen masih belum diterima pihak pendakwaan.

Kesemua tertuduh kini ditahan di Penjara Juvana Sungai Petani, didakwa mencederakan Preevin di tempat, masa dan tarikah sama mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Nhaveen,18, cedera parah akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur. Rakannya, Preevin dilaporkan turut dipukul kumpulan sama menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon mewakili J Ragesuthen dan S Gokulan, manakala peguam S Yagoo mewakili kedua-dua juvana terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.