
Wanita yang tidak dinamakan itu menyenaraikan beberapa isu seperti kos sara hidup, pendapatan dan perlindungan alam sekitar yang kini didakwa semakin merosot di Pulau Pinang.
FMT melakukan pemeriksaan fakta untuk melihat jika Pulau Pinang benar-benar berada dalam kesulitan seperti didakwanya.
Wanita: “Perbelanjaan kami kini sama seperti mereka yang tinggal di KL, tetapi pendapatan kami tidak naik; kamu ingat orang Pulau Pinang dalam keadaan baik, tapi sebenarnya kebanyakannya tidak.”
Semakan fakta: Tidak benar.
Mengenai perbelanjaan:
Perbelanjaan bulanan di Pulau Pinang lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur, berdasarkan statistik rasmi kerajaan persekutuan.
Pada 2016, perbelanjaan bulanan rakyat Pulau Pinang lebih rendah, merekodkan purata perbelanjaan bulanan isi rumah sebanyak RM4,190, berbanding RM6,214 oleh mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan RM5,183 di Selangor.
Putrajaya merekodkan perbelanjaan isi rumah tertinggi iaitu RM6,971, diikuti Kuala Lumpur dan Selangor. Pulau Pinang menduduki tangga ke-5 selepas Melaka yang mencatatkan purata perbelanjaan RM4,374.
Perbelanjaan terendah dicatatkan di Sabah iaitu RM2,595.
Maklumat tersebut berdasarkan Laporan Kaji Selidik Perbelanjaan Isi Rumah 2016 oleh Jabatan Perangkaan.
Mengenai kenaikan pendapatan:
Rakyat Pulau Pinang secara amnya mendapat gaji lebih tinggi berbanding purata kebangsaan RM5,409 sebulan pada 2016 dan RM4,702 pada 2014, menurut satu lagi laporan Jabatan Perangkaan.
Menurut Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, pendapatan bulanan isi rumah bagi golongan pertengahan bagi semua rakyat Malaysia meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014, dengan kadar pertumbuhan 6.6% setahun.
Laporan itu juga menunjukkan daerah timur laut dan barat daya Pulau Pinang mencatatkan purata pendapatan tinggi pada 2016, meletakkan mereka dalam kalangan 20 daerah teratas yang bergaya tinggi.
Daerah timur laut mempunyai purata pendapatan RM7,756, manakala barat daya pula RM7,232. Jabatan Perangkaan tidak memberikan pendapatan golongan pertengahan dalam laporannya.
Sementara itu, Seberang Perai Tengah di mana terletaknya kawasan perindustrian Perai, mempunyai golongan pendapatan pertengahan RM5,172. Jabatan itu tidak memberikan purata pendapatan.
Wanita: “Saya mendapat kenaikan pangkat sebagai eksekutif kanan (dengan gaji) RM2,600, tetapi (seorang kawan yang merupakan) eksekutif kanan di KL (mendapat) RM4,000.”
Semakan fakta: Tidak benar.
Semakan pantas di laman web pekerjaan JobStreet menunjukkan lebih 20 senarai pekerjaan yang menawarkan sekurang-kurangnya RM3,000 hingga RM4,000 untuk jawatan eksekutif kanan dalam pelbagai industri di Pulau Pinang. Sesetengah jawatan menawarkan gaji RM7,000 dan ke atas, bergantung kepada kelayakan dan pengalaman.
Bagi senarai pekerjaan sama di Kuala Lumpur, bayaran itu sama dengan apa yang ditawarkan di Pulau Pinang antara RM3,000 hingga RM4,500. Sesetengah pekerjaan juga menawarkan gaji lebih tinggi sehingga RM7,500.
Wanita: “Harga rumah di Pulau Pinang sangat tinggi. Jika seseorang tidak mempunyai RM800,000, jangan bermimpi memiliki sebuah rumah; harap kita mempunyai lebih banyak rumah mampu milik seperti dahulu; rumah mewah untuk apa, hanya orang asing boleh menikmatinya.”
Semakan fakta: Tidak benar.
Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), majoriti hartanah yang dijual di Pulau Pinang pada suku ke-3 2017 berharga di bawah RM500,000.
Data Napic menunjukkan 72.9% daripada 3,132 hartanah yang dijual di Pulau Pinang ketika itu berharga di bawah RM500,000. Sebanyak 2,286 unit dijual di bawah RM500,000.
Sejumlah 383 unit dijual pada harga RM300,001 hingga RM400,000 dan 389 unit berharga RM100,000 hingga RM150,000 dijual.
Sebanyak 586 unit hartanah antara RM500,001 hingga RM1 juta dijual pada masa sama.
Napic adalah agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan.
Rumah mampu milik dulu dan kini
Sejumlah 5,154 rumah kos rendah dan sederhana dibina di Pulau Pinang dari 1999 hingga 2007.
Dari 2008 hingga 2017, sebanyak 25,000 unit rumah mampu milik pelbagai jenis siap dibina, manakala 70,000 unit lagi dalam perancangan, kata kerajaan Pulau Pinang.
Unit ini dijual antara RM42,000 untuk unit terkecil dan RM300,000 bagi unit terbesar di pulau serta tanah besar.
Ketika ini, harga siling bagi rumah mampu milik di Pulau Pinang ialah RM150,000 (750 kaki persegi), RM250,000 (800 kaki persegi) dan RM300,000 (900 kaki persegi).
Di Seberang Perai, harga siling ditetapkan pada RM150,000 (750 kaki persegi), RM200,000 (800 kaki persegi) dan RM250,000 (900 kaki persegi).
Warga asing beli hartanah
Statistik menunjukkan minat warga asing terhadap hartanah Pulau Pinang berkurangan, sebahagiannya kerana harga minimum RM1 juta untuk hartanah di negeri ini yang boleh dibeli orang asing.
Di pulau, harga minimum ditetapkan pada RM3 juta untuk rumah bertanah dan RM1 juta untuk kondominium.
Unit ini juga tertakluk kepada “kelulusan bayaran levi” sebanyak 1.5% ke atas hartanah berharga RM1 juta hingga RM1.5 juta, dan levi 3% untuk hertanah melebihi harga RM1.5 juta.
Warga asing yang membeli hartanah di tanah besar Seberang Perai juga perlu mengeluarkan minimum RM1 juta.
Statistik rasmi menunjukkan 142 hartanah dibeli warga asing pada separuh pertama 2016 berbanding 267 unit pada 2015, 491 (2014), 763 (2013) dan 301 pada separuh ke-2 2012.
Wanita: “Tambahan, cukai tanah meningkat setiap tahun.”
Semakan fakta: Tidak benar.
Seorang pegawai Jabatan Tanah dan Galian Pulau Pinang mengesahkan tiada kenaikan cukai tanah sejak 2008.
Wanita: “Kenaikan tarif air.”
Semakan fakta: Benar, tetapi hanya untuk mereka yang membazir air.
Tiada kenaikan kadar tarif air, tetapi “surcaj pemuliharaan air” dikenakan ke atas “pembazir air” yang membentuk 1/4 daripada 504,400 isi rumah menggunakan air di Pulau Pinang.
Ketika ini, tarif air di Pulau Pinang terendah di Malaysia dengan 32 sen bagi setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter air pertama. Purata kebangsaan ialah 66 sen.
Negeri ini juga mencatatkan jumlah penggunaan air tertinggi pada 286 liter/kapita/hari (l/c/d) tahun lepas, berbanding purata kebangsaan 209 l/c/d. Cadangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ialah 148 l/c/d.
Kerajaan persekutuan sebenarnya menulis surat meminta Pulau Pinang meningkatkan tarif air supaya penggunaan air dikurangkan. Kerajaan Pulau Pinang enggan berbuat demikian dan memilih untuk menghukum mereka yang membazir air melalui surcaj pemuliharaan air sebanyak 48 sen.
Wanita: “Kamu mengabaikan tanah besar dan memfokuskan pulau.”
Semakan fakta: Tidak benar.
Kerajaan Pulau Pinang mendedikasikan 77% dana pembangunan kepada tanah besar Seberang Perai, dengan hampir RM2.38 bilion dibelanjakan, sementara hanya RM698 juta dibelanjakan di bahagian pulau.
Wanita: “Semua kilang besar ditutup dan pelabur hilang keyakinan. Ramai orang hilang pekerjaan, tetapi kilang haram muncul di mana-mana.”
Semakan fakta: Tidak benar.
Walaupun beberapa kilang legasi meninggalkan Pulau Pinang kerana penyusunan serantau yang lebih besar, beberapa kilang baharu sudah melabur di negeri ini.
Tetapi, Pulau Pinang mencipta nama dalam sektor Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) atau Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).
Kerajaan negeri sedang membina sebuah kompleks GBS berskala besar dan berpiawaian MSC dekat jambatan kedua yang akan siap dalam tempoh 2 tahun. Apabila siap, ia dijangka menyediakan sekurang-kurangnya 3,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Swarovski, misalnya, baru-baru ini membuka pusat GBS Asia di Pulau Pinang, dengan firma perisian Switzerland, Luxoft dibuka awal tahun lepas.
Pulau Pinang turut mencatatkan pelaburan langsung asing tertinggi dalam sektor perkilangan di negara ini sebanyak RM8 bilion pada 3 suku pertama 2017, menurut laporan sebelum ini.
Lembaga Pembangunan Pelaburan (Mida) dalam laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2016 menyenaraikan Pulau Pinang mendapat pelaburan ke-2 terbesar untuk GBS selepas Kuala Lumpur, bernilai RM4.1 bilion.
Menurut firma perakaunan Deloitte, GBS adalah istilah untuk perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar di bawah satu bumbung untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kos untuk perniagaan.
Broadcom Limited, salah satu pembuat cip tanpa wayar terbesar di dunia, membina gudang pengedaran global bernilai RM59 juta di Batu Kawan, dengan anggaran pendapatan eksport lebih RM60 bilion apabila beroperasi sepenuhnya.
Mida juga melaporkan Pulau Pinang mencatatkan tahap pelaburan tertinggi dengan RM7.7 bilion, diikuti Melaka (RM2.9 bilion), Selangor (RM1.7 bilion), Johor (RM1.4 bilion) dan Kedah (RM1 bilion).
Statistik Mida untuk 2008 hingga 2016 mendedahkan Pulau Pinang berada di tempat ke-3 di Malaysia untuk FDI dengan RM41,554 juta, di belakang Johor RM55,751 juta dan Sarawak RM48,371 juta.
Mengenai pekerjaan, kira-kira 128,000 pekerjaan baharu diwujudkan antara 2008 dan 2015, menurut statistik rasmi kerajaan Pulau Pinang.
Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran ke-2 terendah, iaitu 2.1% pada 2016 berbanding purata kebangsaan 3.4%. Melaka merekodkan kadar pengangguran terendah.
Sabah, Terengganu dan Kelantan adalah 3 negeri teratas yang mempunyai kadar pengangguran tinggi.
Wanita: “Ratusan juta dibazirkan ke atas kajian terowong dasar laut yang tidak diketahui.”
Semakan fakta: Ini masih menjadi subjek perdebatan.
Isu kajian terowong dasar laut terlebih bayar pertama kali dibangkitkan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang membayar RM177.5 juta kepada perunding projek itu.
Katanya, ia 4 kali ganda daripada bayaran “sebenar”. Rahman berkata, kos reka bentuk terperinci sepatutnya “hanya tinggi sedikit daripada RM41 juta” seperti garis panduan ditetapkan Lembaga Jurutera (BEM), sebuah badan berkanun persekutuan.
Pemaju projek Consortium Zenith Construction Sdn Bhd berkata, pengiraan Rahman salah kerana beliau tertinggal komponen terowong bawah laut yang dianugerahkan bersama 3 jalan utama di bawah projek itu.
Katanya, jika RM177.5 juta yang disebut Rahman itu hanya untuk 3 jalan utama pasti kelihatan tinggi.
Zenith juga berkata, anggaran RM41 juta yang dikira BEM hanya mengambil kira kerja sivil dan struktur, tetapi ada beberapa skop kerja memerlukan kepakaran asing.
BEM terletak di bawah pentadbiran dan bidang kuasa langsung Kementerian Kerja Raya.
Wanita: “Sampah merata-rata dan bangunan atas bukit.”
Semakan fakta: Subjektif dan juga sebahagian perbahasan masih berterusan.
Walaupun kebersihan mungkin bersifat subjektif, Pulau Pinang kini lebih bersih berbanding dahulu, di mana George Town disenaraikan bandar paling bersih di Asean di bawah Bandar Pelancongan Bersih Asean (ACTC) 2017.
Pulau Pinang juga merekodkan kadar kitar semula tertinggi di negara ini pada kadar 38%, jauh lebih tinggi daripada kadar kitar semula kebangsaan 21%. Seberang Perai berjaya menaikkan kadar kitar semula daripada 22% pada 2008 kepada 42% tahun lepas.
Bagi pembangunan di atas bukit, kemungkinan wanita itu merujuk pembangunan lereng bukit yang menjadi kebimbangan NGO di Pulau Pinang.
Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) melarang pembangunan atas bukit di tanah lebih tinggi daripada 75m dan kecerunan melebihi 25%, lebih ketat daripada garis panduan kebangsaan untuk pembangunan di atas bukit.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan membenarkan projek sedemikian dilaksanakan di bawah peruntukan “projek khas” jika mempunyai “langkah mitigasi lebih baik”.
Forum Penang menggesa kerajaan negeri menghentikan semua pembangunan berkaitan bukit yang menghalang perkhidmatan utama. Menurutnya, kawasan bukit tidak stabil dan penting untuk mengekalkan ekosistem sedia ada.
Ramai pemerhati menekankan ketidakstabilan itu dan kepentingan ekologi terhadap ekosistem semulajadi Pulau Pinang, dan peningkatan pencerobohan aktiviti manusia. Sebagai contoh, antara 2008 hingga 2015, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) memberi 56 kelulusan tanah melebihi 250 kaki persegi, kebanyakannya projek bangunan tinggi dan kepadatan tinggi.
Wanita: “Lebih 20 banjir kilat pada 2017.”
Semakan fakta: Benar.
“Lebih 20 bencana banjir” mungkin berkaitan jumlah keseluruhan banjir di lokasi berbeza di negeri itu. Kebanyakan banjir dapat dikesan kepada musim banjir berganda pada September dan November tahun lepas.
Menurut jawapan kerajaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri, Pulau Pinang dilanda 119 kali banjir kilat dari 2013 hingga 15 Oktober 2017.
Jawapan itu menyatakan 22 banjir kilat berlaku pada 2013, 20 kes pada 2014, 26 pada 2015, 30 pada 2016 dan 21 antara Januari hingga 15 Oktober 2017. Kebanyakan banjir kilat berlaku di bahagian pulau.
Banjir tahun lepas yang terburuk di negeri ini. Kerajaan Pulau Pinang berkata, ia disebabkan bencana alam.
Purata hujan di Pulau Pinang ialah 250mm sebulan. Sebanyak 372mm hujan dicatatkan pada 4 hingga 5 November dalam semalaman.
Wanita: “Mereka (PM, TPM) yang pernah kita salahkan akhirnya menyelamatkan kita.” (Dia merujuk banjir pada November lalu)
Semakan fakta: Usaha menyelamat dan pengagihan bantuan ketika bencana alam berlaku terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Pulau Pinang menghadapi gangguan tropika “Invest 95W” menyebabkan banjir terburuk dalam sejarahnya November lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan bantuan. Kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Pulau Pinang dan menemui Lim, serta mempengerusikan mesyuarat pengurusan bencana.
Anggota tentera ditempatkan di pelbagai kawasan di Pulau Pinang untuk membantu mangsa banjir. Ini adalah prosedur standard di mana-mana lokasi bencana di negara ini serta tentera bersenjata wajib membantu operasi mencari dan menyelamat.
Kemudian, kerajaan Pulau Pinang menyalurkan bantuan berjumlah RM33.4 juta kepada mangsa banjir, bantuan banjir tertinggi dalam sejarah negara.
‘Tidakkah cukup 10 tahun?’ kata wanita kepada rakyat P Pinang