
Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan BDR dijangka mengurangkan perbelanjaan harian seperti kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta pengurusan keluarga.
Tambahnya, keputusan itu dibuat bagi membantu meringankan beban rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan global, termasuk konflik di Asia Barat.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual tanpa menjejaskan kecekapan operasi serta sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memaklumkan, ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaan dasar itu mengikut keperluan perkhidmatan serta fungsi masing-masing.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengingatkan penjawat awam agar terus mengekalkan tahap disiplin, integriti dan produktiviti sepanjang pelaksanaan dasar itu.
Beliau turut menggalakkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun di Pahang mempertimbangkan pendekatan kerja fleksibel, termasuk BDR, jika bersesuaian.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan, dasar BDR bagi sektor awam pada peringkat persekutuan sudah hampir dimuktamadkan sebelum diumumkan secara rasmi.
Menurutnya, Jemaah Menteri telah menerima taklimat terkini mengenai dasar itu yang sedang dihalusi sebelum dimuktamadkan oleh Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Selangor turut meneliti pelaksanaan BDR bagi penjawat awam.
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata, penelitian melibatkan jumlah kakitangan dan jabatan bersesuaian bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, manakala di Selangor, Menteri Besar Amirudin Shari memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan BDR sebagai langkah penjimatan penggunaan bahan api.
Kerajaan Pulau Pinang pula masih meneliti cadangan itu, dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan menunggu panduan lanjut daripada kerajaan persekutuan sebelum membuat keputusan.