Jaga parti sendiri dan henti salahkan JPPM, Ku Nan nasihat Dr M

Jaga parti sendiri dan henti salahkan JPPM, Ku Nan nasihat Dr M

Setiausaha agung Umno itu yakin JPPM mempunyai alasan kukuh meluluskan permohonan Umno menangguhkan pemilihan sehingga tahun depan.

tengku-adnan
Gambar Facebook.
KUALA LUMPUR:
Umno menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjaga parti sendiri dan berhenti menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memberi layan berbeza kepada parti pemerintah dan pembangkang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adanan Tengku Mansor berkata, negara mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi semua pihak dan JPPM mempunyai alasan kukuh meluluskan permohonan Umno menangguhkan pemilihan sehingga tahun depan.

“Suruh dia jaga parti sendirilah. JPPM mesti ada sebab (lulus penangguhan pemilihan Umno). Negara ini mempunyai undang-undang.

“Kamu ada ahli Parlimen di Parlimen untuk bercakap tentang undang-undang. Tapi bila kamu di luar, kamu tak kisah tentang undang-undang dan arahan. Kenapa kamu buat begitu?” soalnya selepas melawat kawasan parkir bertingkat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kepong dan pasar basah berhampiran.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa JPPM bersikap berat sebelah dan memberi layanan berbeza kepada Umno dan pembangkang.

Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu mempersoalkan tindakan JPPM yang dianggap cepat menyelesaikan masalah Umno yang didakwa melanggar perlembagaan parti itu dengan menangguhkan pemilihan.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu mendakwa JPPM sengaja berlengah dalam meluluskan pendaftaran PPBM dan Pakatan Harapan.

Kelmarin, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim, berkata notis di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan mengkehendaki PPBM menjawab serta menyerahkan maklumat dan dokumen seperti minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti untuk melengkapkan siasatan.

Katanya, notis itu dikeluarkan susulan aduan “ahli PPBM” kepada JPPM dan tindakan susulan akan diambil di bawah Seksyen 14(5) untuk mengeluarkan perintah pembubaran terhadap PPBM, jika gagal menyerahkan maklumat dan dokumen diminta.

JPPM pada 12 Januari lepas berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan berkaitan perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM yang diadakan 30 Disember lalu.

Dalam minggu sama, JPPM mengesahkan kelulusan permohonan Umno untuk melanjutkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi bagi 2017, selaras peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17 yang memperuntukkan penangguhan pemilihan Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan tidak boleh melebihi 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

JPPM berkata, Umno menetapkan pemilihan itu diadakan pada 19 April 2019.

Sementara itu, Tengku Adnan menyelar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali hanya mementingkan diri dan tidak mempedulikan kepentingan rakyat dalam isu gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang sejak Selasa lalu.

“Dia akan salahkan semua orang dan tuding jari. Kalau kita nak beri pembangunan, dia akan salahkan saya macam-macam, padahal kita lakukan untuk rakyat.”

Jumaat lalu, Azmin dilaporkan berkata, kerajaan Selangor tidak patut dipersalahkan atas krisis gangguan air di sekitar Lembah Klang sejak Selasa lalu kerana pihaknya sedang mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah itu.

Katanya, krisis air itu berpunca daripada insiden paip pecah semasa proses penyelenggaraan dijalankan di bawah seliaan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) yang masih berada di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.