Juruterbang Ukraine didakwa tembak jatuh MH17 bunuh diri

 

Keluarga Vladyslav Voloshyn berkata, juruterbang itu tertekan dan sentiasa mengekalkan beliau tidak bersalah atas tragedi itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Juruterbang Ukraine yang didakwa Rusia menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17, 4 tahun lepas, membunuh diri Ahad lalu.

Kapten Vladyslav Voloshyn, 29, dilaporkan menembak dirinya di rumah di Mykolaiv, berhampiran Laut Hitam.

BBC memetik ahli keluarganya sebagai berkata Voloshyn merasa tertekan.

Menurut laporan itu, ahli keluarga Voloshyn berada di rumah ketika dia menembak dirinya dan isterinya terdengar tembakan itu.

BBC memetik kenyataan polis Ukraine di Facebook yang menyifatkan kematian Voloshyn sebagai bunuh diri, tetapi ia disiasat sebagai kes pembunuhan terancang.

Penerbangan MH17 ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Pihak berkuasa membuat kesimpulan pesawat itu ditembak jatuh roket darat ke udara buatan Rusia, Moscow bagaimanapun menafikan penggunaan roketnya.

BBC melaporkan pegawai Rusia mendakwa pesawat Voloshyn menembak jatuh MH17, dakwaan yang dinafikan kapten itu.

Voloshyn yang dikatakan menyertai pertempuran di Ilovaisk pada 2014, disifatkan wira perang.

Menurut laporan itu, dia menyertai 33 misi tempur ke atas pemberontak disokong Rusia di timur Ukraine dan menerima pingat keberanian.

Selepas meletak jawatan dalam angkatan tentera udara, dia ditugaskan di lapangan terbang Mykolaiv.

Dia meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki dan perempuan yang masih kecil.

 

4 tahun berlalu, waris seorang penumpang MH17 masih tunggu pampasan

MH17 antara sebab Ukraine heret Rusia ke mahkamah antarabangsa