Dr M muncul mengejut di wacana bincang isu pemimpin tua

PETALING JAYA: Calon perdana menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan mengejut di satu wacana yang membincangkan kemampuan menjadi perdana menteri usia 93 tahun.

Beliau tiba-tiba muncul sekitar 4.10 petang tadi, di tengah-tengah wacana “Apakah Tun M terlalu tua untuk jadi PM?” anjuran Sinar di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Kehadirannya disambut tepukan gemuruh para hadirin yang datang mendengar hujah daripada penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia, Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki seorang pakar psikologi dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Dr Mahathir membuat penampilan bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Hanya beberapa minit duduk di bangku penonton, penganjur membuka ruang kepada bekas perdana menteri itu untuk menjawab hujah ahli panel.

“Memang faktor umur memberi kesan tapi umumnya saya sihat walaupun saya ada sakit jantung,” katanya bertentang muka.

“Sihat tidak bermakna boleh berlari, saya aktif bukan sahaja tubuh badan tapi akal fikiran untuk menyelesaikan masalah. Ramai orang sampai 100 tahun boleh fikir dengan baik,” tambahnya.

Faktor usia Dr Mahathir menjadi bahan perbualan pengkritik pilihan Pakatan Harapan, yang menggandingkan beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Beliau dirasakan paling mampu untuk membawa PH menembusi kawasan-kawasan Melayu luar bandar. Wan Azizah, merupakan isteri kepada pilihan pertama PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan dibebaskan 8 Jun ini.

Dr Mahathir memberitahu hadirin bahawa dia terpanggil untuk sekali lagi menyahut seruan politik kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini kali kedua beliau cuba menyingkir seorang perdana menteri selepas bersara.

“Saya sanggup jadi perdana menteri kerana desakan. Saya letak jawatan pada 2003 sebab saya fikir dah lama jadi perdana menteri jadi saya nak rehat,” katanya.

Dr Mahathir mengumumkan keluar Umno pada Februari 2016 kerana pertikaian tentang 1MDB dan membawa bersamanya beberapa veteran parti untuk menubuhkan PPBM.

“Saya cuba nasihat kerajaan yang ada tapi mereka tak dengar. Saya lihat cara pemerintahan sekarang tidak bepegang kepada ketelusan, ini yang menyebabkan saya khuatir. Saya cuba nasihat tapi tak dengar, jadi saya buat parti lain dan bergabung dalam PH untuk menumbangkan kerajaan Najib,” katanya.