Boleh rasa dan pegang saja, Pandikar larang laporan persempadanan dibawa keluar Parlimen

KUALA LUMPUR: Laporan kajian semula persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan pada Rabu hadapan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kepada wakil rakyat hari ini.

Menurutnya, laporan kajian semula persempadanan mengenai syor-syor yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah “diletakkan di atas meja” setiap ahli Parlimen.

“Saya ingin ingatkan dokumen tersebut tidak boleh disiarkan sehingga dibentangkan Rabu 28 Mac,” katanya.

Kali terakhir proses persempadanan semula ialah pada 2003. Ia sepatutnya dijalankan pada 2011 tetapi ditangguhkan untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh tidak kurang 8 tahun selepas setiap kali persempadanan semula sebelum itu dan tidak boleh melebihi tempoh 10 tahun.

Pada 2003, laporan akhir persempadanan semula diserahkan kepada perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Mac 10 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat 3 minggu selepas itu.

‘Tidak boleh bawa keluar’

Pandikar berkata sekiranya beliau benarkan laporan tersebut dibawa keluar dan disiarkan, tidak ada ahli Parlimen yang akan mengaku.

“Kedua, soal persempadanan ini telah dibawah ke mahkamah, semua orang telah baca di surat khabar, apa sangat yang mahu dibaca dokumen di hadapan itu. Saya nampak ia tebal sahaja tetapi perkara yang dibincang soal pokok semua yang berhormat tahu.

“Jadi waktu berbahas nanti, saya tahu yang berhormat… selama 10 tahun (saya) duduk di sini semua cerdik, benda tak dibaca pun waktu berbahas boleh tahu, boleh sebut apa lagi perkara begitu telah dibincang lama. Saya tak benarkan untuk dibawa keluar,” katanya.

Penjelasan Pandikar itu menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

Datuk Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) berkata sekiranya terdapat pihak atau media yang menyiarkannya, tindakan boleh diambil kepada mereka.

“Bukan untuk menghalang kami membuat penelitian untuk menjadikan ia sebagai perbahasan nanti. Macam Tan Sri mengatakan, apa sangat mahu dibaca, tak payah bentang,” katanya.

Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pula bertanya sama ada ahli Parlimen mereka boleh membuka dan membaca laporan itu.

“Kerana kita bercakap ribuan pengundi yang dipindahkan masuk ke semua kawasan Parlimen kami. Sudah tentu kalau boleh kami ada hak membacanya. Kalau Tan Sri tak benarkan kami membawa keluar, terpaksa akur. Tapi sekurang-kurangnya kita harus diberikan ruang untuk membacanya dan ini (laporan) panjang,” katanya.

Pandikar kemudian bertanya sama ada ahli Parlimen boleh memberi jaminan laporan tersebut tidak “keluar” dari Dewan Rakyat.

“Kalau ahli berhormat baca untuk makluman sendiri dan beri jaminan kepada saya ianya tak terkeluar, sudah di depan di meja sana.

“Telah disebut tadi embargo sehingga Rabu, biar disitu dulu. Boleh rasa, pegang. Jadi selepas ini nanti saya akan pastikan, saya periksa dulu, boleh ke tidak.

“Buat sementara, itulah perintah saya, jangan bawa ke mana-mana, jangan keluarkan di media,” katanya.