Hospital Kapar lewat disebabkan kerajaan Selangor

Gambar Youtube

KUALA LUMPUR: Kelewatan pembinaan Hospital Kapar, yang diumum pembinaannya pada 2013, antara lain disebabkan kelengahan kerajaan negeri Selangor pimpinan pembangkang dalam meluluskan pemberian milikan tanah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sehingga kini, sebanyak 12 surat diutus Kementerian Kesihatan kepada kerajaan negeri Selangor sejak 2012 namun, setiap satu surat mengambil masa lebih setahun untuk dijawab kerajaan negeri itu.

Kini permohonan pemberi milikan tanah ini masih bawah tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Selangor, katanya.

“Ini yang melambatkan. Kerajaan (pusat) minta Sime Darby serah tanah 50 ekar (20.23 hektar) itu kepada kerajaan negeri dan kita pula minta supaya tanah ini diserah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) tetapi syaratnya dengan kadar nominal,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan G Manivannan (PKR-Kapar) yang bertanya sama ada kerajaan meletakkan had masa dalam pembinaan hospital kerajaan itu.

Dr Hilmi menjelaskan tapak tanah bagi cadangan pembinaan hospital berkenaan sudah dipersetujui Kementerian Kesihatan untuk dibina di atas tanah serahan pembangunan syarikat Sime Darby dan pihak kementerian sudah mengemukakan permohonan pemberi milikan kepada JKPTG Persekutuan pada 11 Oktober 2017.

“Susulan itu, JKPTG Persekutuan sudah mengemukakan permohonan pemberi milikan tanah itu kepada pentadbir tanah Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 29 November 2017 untuk mendapatkan kelulusan permohonan serta memohon supaya kadar premium yang akan dikenakan pihak berkuasa kerajaan negeri pada kadar nominal,” katanya.

Semasa menjawab soalan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai langkah kerajaan bagi menyekat penjualan produk suplemen dan makanan kesihatan berbahaya, Dr Hilmi berkata produk suplemen tidak berdaftar bernilai RM41 juta dirampas sepanjang 2015 hingga 2017.

Beliau berkata suplemen kesihatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Kementerian Kesihatan sebelum boleh dikilang, diimport atau dijual di pasaran.

Menurutnya semua iklan suplemen kesihatan yang berdaftar juga perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Iklan Ubat bagi memastikan maklumat dalam iklan tepat dan tidak mengelirukan pengguna.

Dr Hilmi berkata sepanjang 2017 sebanyak 22,550 iklan suplemen kesihatan disaring di dalam pelbagai media sama ada media tradisional dan juga dalam talian oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi dan Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 678 surat amaran dikeluarkan kepada pengiklan dan 60 kertas siasatan dibuka bagi iklan yang melanggar akta berkaitan,” katanya.