Warisan mahu kuasai pakatan pembangkang di Sabah, kata PCS

Warisan mahu kuasai pakatan pembangkang di Sabah, kata PCS

Parti Cinta Sabah menghentam Shafie Apdal atas rancangan bertanding di kerusi majoriti Kadazandusun Murut dan Cina di samping kerusi majoriti orang Islam.

KOTA KINABALU:
Parti Cinta Sabah (PCS) menuduh Parti Warisan Sabah cuba mendominasi pakatan pembangkang yang terjalin untuk melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, memberi amaran matlamat Warisan akan membawa kepada salahguna kuasa.

Pemangku Ketua Pemuda PCS Shalmon Sanangan berkata “ketamakan” Warisan akan menyebabkan kejatuhan pembangkang pada PRU14.

Shalmon mendedahkan dia diberitahu Warisan mencapai satu persetujuan dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk bertanding di 42 daripada 60 kerusi DUN.

Free Malaysia Today
Shalmon Sanangan mendakwa Warisan disokong oleh “warganegara baharu” yang kebanyakannya berketurunan Filipina dan Indonesia.

Langkah itu berlawanan dengan semangat perkongsian kuasa dan akan membawa kepada salahguna kuasa jika pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan negeri daripada BN, katanya.

Beliau mendakwa Warisan mendapat sokongan “warganegara segera” dari Filipina dan Indonesia yang diberi kad pengenalan Malaysia dalam tempoh 30 tahun yang lalu dan kini mengatasi jumlah penduduk pribumi.

Shalmon berkata “Sabahan sejati” perlu risau terutama selepas Warisan bertegas mahukan kuasa mutlak dalam menentukan dasar-dasar negeri.

Disokong oleh warganegara baharu ini, beliau berkata tidak mustahil Warisan akan merangka dasar-dasar baharu yang akan memberi manfaat dan melindungi penyokong utama mereka untuk kekal berkuasa.

Beliau berkata ini terbukti melalui satu video di media sosial yang memaparkan Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman mengisytiharkan pilihan raya seterusnya milik Bajau Suluk, masyarakat terbesar di pantai timur Sabah yang menjadi pangkalan politik Presiden Warisan, Tan Sri Shafie Apdal.

Shalmon berkata pengisytiharaan itu mengguris perasaan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dan Cina.

“Cakap-cakap seperti itu tidak patut digalakkan terutama selepas peristiwa Tanduo yang masih segar di fikiran peduduk tempatan.

“Sebab itu kami dari PCS menggesa masyarakat KDM memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya. Ini bukan perkauman tetapi kita perlu pertahankan hak kita tanpa rasa gentar.

“Kami mahukan kerajaan yang seimbang dan sama sekali menolak satu parti menguasai kerajaan selepas pilihan raya nanti,” katanya.

Peristiwa Tanduo merujuk kepada pencerobohan 200 militan bersenjata dari Filipina di Lahad Datu pada 2013 yang cuba menguatkuasakan tuntutan ke atas sebahagian negeri Sabah bagi pihak bekas kesultanan Sulu.

Sebahagian besar daripada mereka ditangkap selepas pertempuran dengan pihak keselamatan Malaysia yang menyebabkan puluhan orang kehilangan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Shalmon juga menuduh Shafie cuba memecahkan undi pembangkang di kawasan majoriti KDM dan Cina dengan mengumumkan Warisan akan bertanding di kerusi-kerusi itu.

Shalmon berkata kebanyakan kerusi majoriti KDM dan Cina di negeri itu pro-pembangkang manakala Umno masih kuat di pantai timur Sabah.

“Shafie patut tumpukan masa dan tenaga di pantai timur. Niat beliau untuk bertanding di kerusi-kerusi majoriti KDM dan Cina menimbulkan persoalan tentang dorongan sebenar beliau kerana berbuat demikian hanya akan memecahkan undi pembangkang.

“Kita mesti ingat Shafie semasa dalam kerajaan tidak pernah sekalipun pertahankan kedaulatan negara dengan membantah pengedaran haram MyKad kepada pendatang,” katanya.

Shafie merupakan bekas menteri luar bandar dan pembangunan wilayah dan naib presiden Umno tetapi meninggalkan parti itu kerana perbezaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1MDB.

Dia menubuhkan Warisan pada 2016 dengan mengambil alih sebuah parti tempatan sedia ada dan menukar namanya.

Warisan mengajukan dirinya sebagai parti berbilang kaum dan hirarki tertinggi parti itu terdiri daripada pemimpin daripada pelbagai kaum di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.