Lambang ‘mata Anwar’ jadi pilihan PH pada PRU14

PETALING JAYA: Calon daripada 4 parti di Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di Semenanjung Malaysia bawah bendera PKR, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Saya dengan segala sukacita ingin maklum kepada seluruh Malaysia dan seluruh dunia bahawa dalam keempat parti akan guna 1 lambang iaitu lambang PKR,” kata pengerusi gabungan itu di satu ceramah oleh keempat-empat parti di Pasir Gudang, Johor, malam ini.

Langkah itu pertama kali dilakukan oleh parti-parti pembangkang dalam sejarah pilihan raya Malaysia, dan sehari selepas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menghalang PPBM menyertai pilihan raya, berikutan perintah penggantungan terhadap parti itu, memetik beberapa perkara yang tidak menurut peraturan.

Keputusan menggunakan lambang PKR sudah dijangka banyak pihak, terutama selepas DAP mengumumkan lambang roket akan “direhatkan” pada pilihan raya nanti. Lambang Amanah, parti berusia 3 tahun yang ditubuhkan bekas-bekas pemimpin PAS, juga diketepikan kerana tidak dikenali ramai.

Sebelum ini gabungan itu menyerahkan lambang bersama kepada JPPM dalam usaha untuk mendaftarkan PH sebagai satu entiti rasmi, tetapi permohonan itu belum diluluskan, dikatakan kerana beberapa masalah dalaman PPBM.

Keputusan malam ini juga bermakna Dr Mahathir, calon PH untuk jawatan perdana menteri, akan bertanding sebagai calon PKR, sesuatu yang tidak disangka-sangka dan jarang berlaku dalam lanskap politik negara yang semakin mudah berubah.

Parti Keadilan Nasional dan lambang matanya terbentuk di bawah pentadbiran Dr Mahathir. Ia kemudian memasukkan jalur merah menandakan penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia, dan penukaran nama kepada Parti Keadilan Rakyat.

Keadilan ditubuhkan di kemuncak krisis politik yang tercetus akibat pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang menyaksikan ribuan turun ke jalanan selama berbulan bagi menuntut peletakan jawatan Dr Mahathir.

Lambang itu memaparkan mata, peringatan kepada kejadian “mata lebam” 1998 apabila Anwar tampil ke mahkamah dengan kecederaan di mata kiri, yang kemudian didapati disebabkan oleh ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Anwar dan Dr Mahathir menamatkan permusuhan 18 tahun antara mereka pada 2016, susulan daripada perseteruan antara bekas perdana menteri itu dan Datuk Seri Najib Razak.