
Aminuddin, yang juga naib presiden PKR, berkata perkara itu bukan ditentukan oleh beliau dan fokus beliau kini adalah untuk terus melakukan yang terbaik selagi memimpin kerajaan negeri.
“Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya ketika ditanya sama ada tindakan BN Negeri Sembilan itu akan menjejaskan hubungan dengan PH di peringkat persekutuan.
“Di peringkat negeri, saya akan terus melaksanakan tanggungjawab. Saya akan bekerja lebih kuat lagi,” katanya pada sidang media di Seremban.
Hari ini, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Ketua Umno negeri, Jalaluddin Alias, berkata keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin berkait dengan krisis semasa melibatkan empat Undang yang mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disingkirkan daripada jawatannya.
Manakala, lima Adun Perikatan Nasional berkata mereka bersedia bekerjasama dengan 14 Adun Umno untuk membentuk kerajaan negeri baharu bagi memastikan kestabilan.
Sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri. Tanpa Umno, Pakatan Harapan hanya memiliki 17 kerusi.
Pilihan raya mengejut
Sementara itu, Aminuddin berkata pilihan raya mengejut tidak akan diadakan buat masa ini.
Walaupun ketika ini hanya mendapat sokongan 17 daripada 36 Adun, Aminuddin berkata beliau tidak bercadang memohon perkenan Yang di-Pertuan Besar bagi membubarkan DUN.
Adun Sikamat itu berkata, kerajaan minoriti masih boleh meneruskan tugasnya sehingga persoalan mengenai sokongan majoriti di DUN ditentukan.
Beliau berkata, BN sepatutnya boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya di DUN, bukan sekadar umum penarikan sokongan. Namun, wakil gabungan itu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mendesak supaya persidangan ditangguhkan.
“Jika mereka merancang perkara ini dari awal, mereka sepatutnya membenarkan persidangan DUN diteruskan.
“Saya bukan orang yang mencadangkan supaya persidangan (DUN) ditangguhkan, mereka yang berbuat demikian. (Jika tidak) mereka boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap saya hari ini,” katanya.
Aminuddin berkata, permohonan untuk menangguhkan persidangan dibuat empat exco BN termasuk Jalaluddin, pada malam sebelum pembukaan.