
Aminuddin berkata perkara itu disampaikan oleh Tuanku Muhriz ketika beliau menghadap baginda hari ini.
“Saya ambil maklum pengumuman 14 Adun Umno yang menyatakan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri dan mempersembahkan pemakluman kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Setelah melalui pertimbangan sewajarnya, Tuanku Muhriz menasihati dan menitahkan agar saya meneruskan tanggungjawab mentadbir sebagai menteri besar seperti biasa selagi belum terdapat kejelasan muktamad mengenai perkara ini, selaras dengan peruntukan undang-undang dan undang-undang tubuh kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media di Seremban.
Katanya, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Segala tindakan seterusnya akan dilaksanakan mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Aminuddin yang juga pengerusi PH negeri berkata, sokongan terhadap beliau dan kerajaan negeri hanya boleh ditentukan menerusi usul undi tidak percaya di DUN.
Katanya, sekiranya mana-mana pihak yang mahu menarik sokongan terhadap beliau perlu bawa usul tidak percaya tetapi apa yang berlaku Adun Umno sendiri mahu persidangan itu ditangguhkan.
“Saya akan terima keputusan (undi tak percaya), tetapi buat masa ini tak ada keputusan. Kita akan buat keputusan kemudian (pada sidang DUN akan datang).
“Kita akan teruskan pentadbiran kepada rakyat, kita yakin mampu tadbir negeri sebab yang menarik sokongan adalah mereka,” katanya.
Aminuddin juga menambah Adun Umno yang menarik balik sokongan terhadap beliau juga bukan sebahagian daripada exco negeri lagi.
Hari ini, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Pengerusi Umno negeri, Jalaluddin Alias, berkata keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin berkait dengan krisis semasa melibatkan empat undang yang mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disingkirkan daripada jawatannya.
Sementara itu, lima Adun Perikatan Nasional berkata mereka bersedia bekerjasama dengan 14 Adun Umno untuk membentuk kerajaan negeri baharu bagi memastikan kestabilan.
Sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri. Tanpa Umno, Pakatan Harapan hanya memiliki 17 kerusi.