
Aziz berkata, kuasa tersebut membolehkan Putrajaya meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan krisis, sebagaimana termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Perkara tersebut memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat jika perlu.
Katanya, penangguhan sidang DUN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 23 April memaparkan keadaan negeri itu sedang berdepan masalah.
Speaker DUN MK Ibrahim Abd Rahman, berkata tarikh baharu akan ditetapkan sebaik sahaja mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Aziz berkata, ketidakhadiran empat Undang pada majlis perasmian pembukaan pada 23 April lalu, turut menimbulkan persoalan mengenai keabsahan mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, kelewatan itu akan memberikan implikasi serius memandangkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri menetapkan bahawa sidang DUN mesti diadakan dalam tempoh enam bulan.
“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan DUN terbubar secara automatik, dan ahli dewan akan kehilangan kerusi mereka. Itulah sebabnya perkara ini perlu ditangani secepat mungkin,” katanya.
Aziz berkata, pengisytiharan darurat tidak semestinya sesuatu yang buruk sekiranya ditakrifkan dengan jelas dan ditetapkan tempoh masa tertentu.
“Apa-apa pun, terserah kepada kerajaan persekutuan memutuskan sama ada mahu menggunakan kuasa darurat atau tidak,” katanya sambil menambah akhirnya, nasihat perdana menteri tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong, di mana secara amalannya perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Raja-raja Melayu lain.
Krisis Negeri Sembilan tercetus selepas bekas Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Dohak, mengumumkan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada sidang media bersama tiga Undang lain, pada 19 April.
Namun, Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf langkah melucutkan jawatan Tuanku Muhriz.
Cabaran Mahkamah Persekutuan
Peguam kanan Zainuddin Omar, yang pakar dalam Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan, berkata para Undang mempunyai hak prerogatif untuk tidak menjelaskan alasan mereka dalam usaha melucutkan jawatan Tuanku Muhriz.
“Sekiranya Tuanku Muhriz tidak bersetuju, baginda boleh mencabar tindakan pemecatan tersebut di Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi pakar Perlembagaan, Bastian Pius Vendargon, berkata kuasa meminta Baginda Tuanku turun takhta telah ditetapkan di bawah Perkara X Undang-undang Tubuh Negeri.
“Memandangkan ini adalah perkara yang sangat serius, ia memerlukan pematuhan ketat terhadap peruntukan tersebut serta jaminan Perlembagaan yang sedia ada dalam Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan, termasuk kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan asasi,” katanya kepada FMT.
Vendargon berkata, kuasa di bawah Perkara X hanya boleh digunakan selepas ‘siasatan lengkap’ dijalankan, dan ia hanya berbangkit sekiranya siasatan berkenaan menentukan bahawa Baginda Tuanku mengalami apa jua ‘kecacatan besar dan serius’ seperti dinyatakan.
Beliau berkata, tidak jelas sama ada syarat-syarat utama telah dipenuhi, seperti sama ada Baginda Tuanku telah diberikan peluang untuk didengari atas alasan aduan yang dinyatakan secara jelas, atau sama ada semua empat Undang memegang jawatan secara sah semasa proses itu berlangsung.
Vendargon berkata, situasi tersebut menjadi rumit dengan pemecatan seorang daripada Undang, memandangkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dipengerusikan Baginda Tuanku.
Pada 17 April, DKU memutuskan Mubarak Dohak dilucutkan jawatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong kerana didakwa melanggar beberapa adat dan tradisi.
“Nampaknya wujud krisis yang perlu diselesaikan. Sebaik-baiknya, ia harus diselesaikan melalui mekanisme dalaman negeri itu sendiri.
“Mahkamah secara amnya keberatan campur tangan dalam urusan sebegini, namun jika pentadbiran negeri dan fungsi Undang-undang Tubuh Negeri terjejas, kebuntuan ini mungkin terpaksa diselesaikan oleh mahkamah,” katanya.