
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin, berkata kerajaan perpaduan di peringkat pusat dan negeri ditubuhkan susulan tiada gabungan politik menguasai majoriti selepas PRU15.
“Persetujuan kerajaan perpaduan adalah mewujudkan kerajaan stabil sehingga tamat penggal.
“Semoga BN Negeri Sembilan menghormati perjanjian tersebut sehingga tamat penggal. Kestabilan dan kesejahteraan rakyat harus diutamakan,” katanya ringkas di Instagram.
Hari ini, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
Tidak lama selepas itu, Ketua Pembangkang Mohd Hanifah Abu Baker, berkata lima Adun Perikatan Nasional (PN) sedia bekerjasama dengan 14 tersebut bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri .
Ketua Pembangkang Mohd Hanifah Abu Baker, berkata lima Adun PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan mereka.
Susulan itu, dilaporkan Aminuddin memanggil mesyuarat tergempar di kediaman rasminya petang ini susulan keputusan Umno menarik balik sokongan terhadapnya.
Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak, pula didakwa sudah dipecat.
Susulan krisis itu, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung empat hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan disempurnakan Tuanku Muhriz, Khamis lalu.