Aminuddin panggil mesyuarat tergempar selepas Umno tarik sokongan

Aminuddin panggil mesyuarat tergempar selepas Umno tarik sokongan

Ini selepas 14 Adun Umno tarik sokongan terhadap menteri besar Negeri Sembilan itu hari ini.

Aminuddin Harun
14 Adun Umno tarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun hari ini dengan alasan hilang keyakinan susulan krisis adat di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, memanggil mesyuarat tergempar di kediaman rasminya petang ini susulan keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap beliau.

DAP Negeri Sembilan yang memegang 11 kerusi DUN juga dijadualkan mengadakan mesyuarat berasingan di pejabat parti itu pada 2 petang.

Kedua-dua mesyuarat itu disahkan Adun Nilai dari DAP, Arul Kumar Jambunathan kepada FMT.

Krisis politik itu tercetus awal hari ini apabila Umno Negeri Sembilan mengisytiharkan bahawa semua 14 Adun parti itu menarik balik sokongan terhadap Aminuddin dari PKR.

Pengerusi Umno negeri, Jalaluddin Alias, berkata keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin berkait dengan krisis semasa melibatkan empat undang yang mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disingkirkan daripada jawatannya.

Beliau berkata surat rasmi akan diserahkan kepada speaker dan setiausaha DUN negeri hari ini.

Sementara itu, lima Adun Perikatan Nasional berkata mereka bersedia bekerjasama dengan 14 Adun Umno untuk membentuk kerajaan negeri baharu bagi memastikan kestabilan.

Sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri. Tanpa Umno, Pakatan Harapan hanya memiliki 17 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.