PN Negeri Sembilan sedia kerjasama BN tubuh kerajaan baharu

PN Negeri Sembilan sedia kerjasama BN tubuh kerajaan baharu

Ketua Pembangkang Negeri Sembilan Mohd Hanifah Abu Baker berkata lima Adun PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan.

Ketua Pembangkang Negeri Sembilan Mohd Hanifah Abu Baker berkata rakyat berhak mendapat pentadbiran yang stabil dan berkesan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan 14 Adun Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri susulan krisis kepimpinan didakwa melanda pentadbiran sedia ada.

Ketua Pembangkang, Mohd Hanifah Abu Baker, berkata lima Adun PN sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan mereka.

“Sehubungan itu, lima Adun Negeri Sembilan daripada PN sedia bekerjasama dengan 14 Adun BN bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.

“Ia bagi membangunkan Negeri Sembilan serta menjamin kesejahteraan rakyat,” kata Adun Labu pada sidang media disiarkan dalam talian.

Terdahulu, 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinannya.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Katanya, beliau bersama 13 lagi Adun yang mewakili BN amat dukacita dan kecewa dengan krisis itu.

Sementara itu, Hanifah berkata tindakan diambil susulan kemelut politik melanda Negeri Sembilan sejak beberapa minggu lalu sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat pentadbiran yang stabil dan berkesan, namun krisis berlarutan itu menyebabkan sidang DUN terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.

“Kami kesal kerana krisis ini terus berlarutkan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri, sehingga sidang DUN terpaksa ditangguhkan.

“Ini membuktikan Aminuddin gagal menangani krisis secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.