Umno Negeri Sembilan tarik sokongan terhadap Aminuddin

Umno Negeri Sembilan tarik sokongan terhadap Aminuddin

Keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata beliau bersama 13 lagi Adun mewakili BN amat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Semua 14 Adun Umno-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Katanya, beliau bersama 13 lagi Adun yang mewakili BN amat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku.

“Semua 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan dengan ini, sebulat suara hilang kepercayaan kepada menteri besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, pimpinan menteri besar Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media disiarkan dalam talian.

Terdahulu, Umno Negeri Sembilan menyatakan pendirian terus kekal mempertahankan institusi adat dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan berharap krisis ketika ini tidak berpanjangan.

Manakala, bekas menteri besar Rais Yatim dilaporkan berkata Aminuddin perlu segera mengambil inisiatif memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bagi meredakan dan menyelesaikan krisis itu.

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak, pula didakwa sudah dipecat.

Susulan krisis itu, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung empat hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan disempurnakan Tuanku Muhriz, Khamis lalu.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga Adun Pertang berkata Aminuddin sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaannya dalam menangani kemelut berkenaan.

Beliau berkata, krisis itu dilihat berpotensi menjejaskan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan memberi kesan mendalam kepada kestabilan serta keharmonian rakyat.

Katanya, sebagai parti yang menghormati institusi adat dan perlembagaan, pihaknya tidak akan sesekali mencampuri urusan berkaitan, namun mendakwa mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri berhubung isu tersebut.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa kami mendukung penuh serta mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan dan mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri sekali gus dapat memberikan fokus kepada objektif mensejahterakan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya.

Menurutnya, pemakluman rasmi berhubung pendirian itu akan dihantar kepada speaker dan setiausaha DUN hari ini.

BN memiliki empat wakil dalam pentadbiran Aminuddin.

Jalaluddin adalah exco kemajuan desa, perladangan dan komoditi, manakala Adun lain Ismail Lasim (Senaling), Mustapha Nagoor (Palong), dan Faizal Ramli (Linggi).

Ismail adalah exco pendidikan dan modal insan, manakala Mustapha exco pembangunan belia dan sukan.

Faizal pula exco warisan, teknologi, inovasi dan digital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.