Dr M: Saya panggil kawan saya ‘keling’, apa masalahnya?

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini dikritik kerana menggunakan julukan berunsur perkauman berkata, orang yang tidak tahan dengan panggilan tidak enak perlu menjauhi politik.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari, mengkritik pengerusi Pakatan Harapan itu kerana menggunakan perkataan “keling” dalam satu acara kutipan dana malam tadi.

Dr Mahathir berkata, ia merupakan perkataan yang digunakannya sejak kecil lagi.

“Itu bahasa kita dan di kalangan kita, kita gunakan perkataan keling sejak saya kecil lagi. Tak ada masalah, kawan-kawan keling saya tak pernah marah saya, pasal apa MIC nak marah?” soalnya.

Beliau menggunakan perkataan itu ketika mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dilaporkan berkata “Saya mahu gunakan perkataan ‘keling’. Orang ‘keling’ cakap podah”.

Vell Paari berkata, semua orang tahu perkataan yang digunakan itu adalah satu penghinaan kepada kaum India, dan tindakan Dr Mahathir itu membuktikan beliau pandang rendah kepada masyarakat India Malaysia.

Dalam majlis kutipan dana hari ini, Dr Mahathir berkata, mereka yang menyertai politik akan terdedah kepada panggilan tidak enak.

“Jika sertai politik, mereka akan dapati semua gelaran keji ini akan menjadi nama baru anda.

“Saya nasihati siapa yang tidak tahan digelar dengan gelaran keji, jangan ambil bahagian dalam bidang politik.”