
Walaupun penggal pentadbirannya hanya berakhir awal 2028, Anwar dikatakan melihat kemungkinan mengadakan PRU seawal Oktober, dengan syarat kerajaan tidak perlu membuat pemotongan subsidi tambahan sebelum itu.
Bagaimanapun, perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada keputusan muktamad.
Kerajaan juga sedang bersiap untuk melaksanakan sistem subsidi yang lebih bersasar bermula separuh kedua tahun ini, memandangkan harga tenaga global dijangka kekal tinggi susulan konflik melibatkan Iran.
Langkah ini berkemungkinan menyebabkan golongan berpendapatan tinggi membayar harga bahan api yang lebih mahal.
Penganalisis politik Adib Zalkapli berkata masa paling sesuai untuk membubarkan Parlimen adalah sebelum kerajaan terpaksa menaikkan harga bahan api bersubsidi.
Katanya, keputusan sukar seperti itu lebih mudah dibuat selepas kerajaan memperoleh mandat baharu.
Bil subsidi bahan api negara kini melonjak hampir 10 kali ganda kepada sekitar RM7 bilion sebulan sejak konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari, sekali gus memberi tekanan kepada sasaran defisit kerajaan.
Di Malaysia, harga bahan api merupakan isu sensitif kerana rakyat sudah lama menikmati petrol murah hasil subsidi. Sebarang pengurangan boleh mencetuskan reaksi negatif pengundi.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata walaupun beberapa pembaharuan telah mengurangkan beban kerajaan, kos subsidi masih tinggi.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pula menegaskan tiada perubahan mendadak akan dibuat terhadap dasar subsidi.
Sebelum konflik tercetus, Anwar sudah mempertimbangkan PRU tahun ini, disokong oleh ekonomi yang kukuh, pengukuhan ringgit dan peningkatan profil antarabangsa selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu.
Selain itu, perpecahan dalam kalangan pembangkang turut memberi kelebihan kepada beliau untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.
Namun, kenaikan harga minyak akibat konflik global menambah tekanan kepada kerajaan. Pada awal April, Anwar menolak kemungkinan PRU mengejut dalam tempoh terdekat dan menyeru semua pihak bekerjasama menangani kesan krisis tenaga.
Mengikut Perlembagaan, pembubaran Parlimen memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim , yang mempunyai budi bicara untuk menerima atau menolak cadangan tersebut.
Langkah mengadakan PRU awal juga dilihat berkait dengan usaha menyelaraskan pilihan raya persekutuan dengan beberapa pilihan raya negeri dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi menjimatkan kos.
Johor, Melaka dan Sarawak antara negeri yang dijangka mengadakan pilihan raya, manakala pergolakan politik di Perlis turut membuka kemungkinan pilihan raya mengejut di negeri itu.
Setakat ini, hanya Melaka dilaporkan mempertimbangkan pilihan raya sekitar suku ketiga tahun ini.
Sejak tahun lalu, Malaysia mula mengubah sistem subsidi bahan api kepada pendekatan lebih bersasar, termasuk membenarkan harga petrol diapungkan bagi warga asing dan mengurangkan subsidi diesel secara menyeluruh.
Ketika ini, harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter untuk rakyat tempatan, antara yang terendah di dunia. Namun, harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia telah mencecah paras tertinggi RM6.72 seliter pada April.
Kerajaan juga mengurangkan had kuota bahan api bersubsidi sejak Mac sebagai langkah sementara menghadapi krisis, dan tempohnya kini dilanjutkan.
Sebagai pengimport bersih minyak mentah, Malaysia bergantung kepada bekalan luar. Petronas memberi jaminan bekalan bahan api mencukupi sekurang-kurangnya hingga akhir Jun.
Sepanjang tahun lalu, Anwar turut berdepan tekanan politik termasuk protes pembangkang serta prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya negeri Sabah.
Ini berlaku selepas kadar sokongan terhadap beliau meningkat kepada 55% dalam tinjauan Merdeka Center pada Jun tahun sebelumnya.