‘Kalau ada bukti, bawa’, Anwar enggan layan dakwaan tular tidak berasas

‘Kalau ada bukti, bawa’, Anwar enggan layan dakwaan tular tidak berasas

Perdana menteri mengulas dakwaan yang dikaitkan dengan sebuah video tular membabitkan individu dikenali sebagai Albert Tay mengenai pemilikan wang di luar negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan melayan sebarang dakwaan tidak berasas serta menggesa pihak terbabit mengemukakan bukti jika ada berhubung isu tular itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan membabitkan beliau dengan pemilikan wang di luar negara perlu disertakan bukti kukuh.

Anwar berkata beliau tidak akan melayan sebarang dakwaan dan tuduhan tidak berasas serta menggesa pihak terbabit mengemukakan bukti jika ada.

“Kalau ada bukti, bawa. Tak ada siapa yang terkecuali. Kalau tak ada bukti, saya tidak akan layan,” katanya, menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas dakwaan yang dikaitkan dengan sebuah video tular membabitkan individu dikenali sebagai Albert Tay.

Anwar ditemui ketika hadir Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim hari ini.

Terdahulu Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menggesa pihak berkuasa menyiasat satu rakaman tular mengandungi dakwaan serius oleh individu dikenali sebagai Sofia Rini membabitkan dakwaan salah laku bekas pegawai perdana menteri.

Menurutnya, video itu mengandungi beberapa dakwaan utama termasuk tuduhan wang yang didakwa dicuri oleh bekas pegawai berkenaan dibawa ke Afrika untuk disimpan selain dakwaan bahawa tindakan terbabit dilakukan atas arahan perdana menteri sendiri.

Sementara itu, Anwar juga berkata pihaknya mempunyai tanggungjawab besar dalam mentadbir negara dan tidak boleh melayani setiap komen atau dakwaan yang tersebar di media sosial tanpa asas.

“Saya banyak kerja. Kalau ada bukti, bawa. Kalau tidak, ia hanya akan jadi sarang fitnah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.