SPR berganding SPRM, pantau calon ‘rasuah pelbagai bentuk’

SPR berganding SPRM, pantau calon ‘rasuah pelbagai bentuk’

Bentuk rasuah termasuk penyamaran, jamuan, pengaruh tidak wajar dan penyogokan sama ada sebelum, semasa atau selepas tempoh pilihan raya diadakan.

Free Malaysia Today
SPR dan SPRM berkata rasuah secara langsung dan tidak langsung merupakan kesalahan pada tempoh kempen PRU. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Mana-mana calon pilihan raya yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah bakal berdepan hilang kerusi dan hak mengundi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Pengerusi SPR Tan Sri Hashim Abdullah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengesan pihak yang terlibat salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sekiranya berlaku aktiviti dan salah laku rasuah, ia bukan sahaja membolehkan mereka yang terlibat dikenakan tindakan atau hukuman penjara dan hukuman denda, malah ia secara tidak langsung boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon tersebut di mana pilihan raya kecil perlu diadakan.

“Dalam masa yang sama, mereka yang terlibat juga akan dikeluarkan dari senarai daftar pemilih selama 5 tahun dari tempoh sabitan tersebut,” katanya di Putrajaya hari ini.

Katanya, tindakan itu selaras dengan Seksyen 7 hingga 11, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Dalam konteks pilihan raya, terdapat peraturan-peraturan khusus yang menyentuh berkaitan aktiviti, salah laku dan hukuman terhadap aktiviti rasuah di bawah Seksyen 7 hingga 11, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

“Di bawah peruntukan undang-undang tersebut, bentuk-bentuk rasuah yang dinyatakan adalah berkaitan dengan penyamaran, penjamuan, pengaruh tidak wajar dan penyogokan di mana ia berkemungkinan boleh berlaku sama ada sebelum, semasa atau selepas tempoh pilihan raya diadakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Dzulkifli Ahmad memaklumkan sehingga kini hanya Barisan Nasional (BN) yang menyerahkan senarai calon untuk disaring sama ada terlibat rasuah atau tidak.

“Apa yang kita jalankan di SPRM, mana-mana parti politik yang mahu calon mereka disaring kita akan terima dan buat saringan dan setakat ini hanya BN sahaja yang telah berbuat demikian.

“Dari pihak pembangkang setakat ini tidak ada, kita terbuka kalau mana-mana parti nak buat saringan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.