Tunggu kita menang, Mukhriz enggan namakan calon MB Kedah

Tunggu kita menang, Mukhriz enggan namakan calon MB Kedah

Pengerusi PH Kedah itu berkata gabungan itu perlu memenangi pilihan raya di peringkat negeri terlebih dulu.

Free Malaysia Today
Sebahagian daripada penduduk Langkawi yang hadir di Padang Matsirat malam tadi untuk mendengar pemimpin tertinggi Pakatan Harapan. (Gambar AFP)
LANGKAWI:
Soalan siapa bakal menjadi menteri besar Kedah sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi negeri itu pada pilihan raya umum akan datang masih lagi belum terjawab.

Pengerusi PH Kedah yang juga bekas MB Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jawatan itu bukanlah sesuatu yang patut dikejar, dan PH mesti menang di peringkat negeri terlebih dulu sebelum memutuskan calon yang paling layak.

“Saya berjanji kepada pengundi Kedah, walaupun sekiranya bertanding di kerusi Parlimen, saya tetap akan terlibat dalam hal ehwal dan pentadiran negeri Kedah.”

“Jadi selepas berbincang dengan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diputuskan saya akan bertanding di 2 kerusi,” katanya kepada wartawan selepas ceramah di Padang Matsirat malam tadi.

Dalam ceramah berkenaan, Dr Mahathir mengumumkan Mukhriz akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun dan kerusi negeri Jitra.

Berhubung keputusannya tidak mempertahankan kerusi DUN Ayer Hitam yang dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRU lepas, Mukhriz berkata, beliau lebih suka pindah ke kerusi yang tidak pernah dimenangi oleh PH seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Timbalan presiden PPBM itu berkata, sebelum ini sewaktu menjadi ahli Parlimen Jerlun, beliau secara sukarela menyerahkan kerusi itu kepada penyandang sekarang, Othman Aziz yang memenangi kerusi itu kemudiannya.

“Saya kemudiannya memenangi kerusi yang beliau tewas sebelum itu, iaitu Ayer Hitam.

“Keadaannya sama kali ini. Saya tidak memepertahankan kerusi Ayer Hitam yang dimenangi sebelum ini, tetapi berpindah untuk menawan kerusi negeri yang lain, iaitu Jitra, dan pada saat sama kembali ke Jerlun.

“Kerusi ini bukan kerusi mudah. Saya melihatnya sebagai tanggungjawab pengerusi PH Kedah memastikan ia dimenangi oleh PH,” katanya.

Tentang kemungkinan negeri Kedah kembali kepada pembangkang berikutan pencalonan Dr Mahathir untuk kerusi Parlimen Langkawi, Mukhriz berkata beliau berharap ia menjadi kenyataan.

“Saya berharap pengumuman malam ini akan memenangkan PH bukan sahaja di Langkawi dan Kedah, tetapi juga di Perlis, Pulau Pinang, Perak dan mungkin juga seluruh negara,” katanya.

Mukhriz berkata, calon PH di Kedah merupakan campuran individu dari pelbagai latar belakang masyarakat.

Katanya, bukan semua mereka ahli politik, dan sebahagiannya dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan rekod yang baik, sebahagiannya ahli perniagaan dan juga calon muda.

“Saya fikir kita berpeluang menampilkan gabungan calon yang baik kepada pengundi di Kedah.

“Perlu difahami juga, bukan PPBM sahaja yang mewakili PH di Kedah. Kita ada PKR, Amanah dan DAP. Gabungan inilah yang ditawarkan oleh PH dan mesti dilihat sebagai satu keseluruhan,” katanya.

Mukhriz tidak melihat kesan penyertaan PAS yang akan menyebabkan pertandingan 3 penjuru sebagai terlalu besar.

“Memang jika menjangkakan pertandingan 3 penjuru hampir di semua kerusi di Kedah, dan kami bersedia menghadapinya.

“Saya tidak fikir PAS faktor besar. Mereka masih ada penyokong, tetapi saya percaya kita akan dapat lebih banyak undi orang Melayu berbanding PAS atau Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.