DAP cadang 10 calon Melayu, paling ramai sejak 1966

Kulasegaran berkata, pemilihan 10 calon Melayu untuk PRU14 mungkin yang paling ramai sejak DAP ditubuhkan pada 1966.

PETALING JAYA: DAP meletakkan 10 calon Melayu untuk kerusi Parlimen dan negeri di Semenanjung, mungkin paling ramai sejak penubuhan parti itu pada 1966, kata Naib Pengerusinya, M Kulasegaran.

“Pencalonan lebih ramai calon Melayu menunjukkan kami sedang berkembang sejajar perubahan lanskap politik,” katanya kepada FMT.

DAP ialah parti berbilang kaum, walaupun kebanyakan pemegang jawatan ialah kaum Cina.

Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dicalonkan untuk kerusi Parlimen Raub yang dimenangi Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz pada 2013. Disebabkan faktor kesihatan, Ariff tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah, manakala ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Syerleena Abd Rashid diletakkan di DUN Seri Delima.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Young Syefura Othman pula akan bertanding di DUN Ketari di Bentong dan veteran DAP, Abu Bakar Lebai Sudin diturunkan di DUN Pulau Manis, satu daripada 2 kerusi DUN di Pekan yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas pensyarah undang-undang, Abdul Aziz Bari dicalonkan di kerusi DUN Tebing Tinggi di Perak dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Edry Faizal Yusof bertanding di DUN Dusun Tua.

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jamaliah Jamaluddin diletakkan di kerusi DUN Bandar Utama, bekas aktivis Pemuda PAS, Sheikh Omar Ali akan bertanding di kerusi DUN Paloh di Johor dan Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Norhizam Hassan Baktee dicalonkan di DUN Pengkalan Batu.

Pada pilihan raya umum 1969, calon DAP, Ibrahim Singgeh menewaskan calon Umno di kerusi DUN Tapah, Perak manakala Hassan Ahmad mengalahkan calon Umno di Si Rusa, Negeri Sembilan.

Pada 1974, Daing Ibrahim Othman menewaskan calon MCA di kerusi DUN Pasir Puteh, Perak.

Pada 1982, Mohd Fadzlan Yahya mengalahkan calon MCA candidate di DUN Pasir Bedamar, Perak.

Bekas pemimpin kesatuan sekerja, Ahmad Nor menjadi ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu yang pertama selepas memenangi kerusi Bayan Baru, pada 1990.

Pada 2013, Zairil dan Ariff dipilih sebagai ahli Parlimen, manakala Tengku Zulpuri menjadi adun Mentakab.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14