‘Belum terlambat, kembalilah’, Zahid pujuk calon tak terpilih

TPM Zahid Hamidi berkata jika diikutkan rasa marah dan merajuk, beliau juga akan tinggalkan Umno semasa ditahan ISA suatu masa dahulu.

BATU PAHAT: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) supaya kembali ke pangkal jalan menyokong parti demi mencapai kemenangan.

Timbalan Perdana Menteri berkata masih belum terlambat untuk mereka menoleh ke belakang dan kembali kepada parti sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.

“Masih belum terlambat, daripada sekarang hingga 28 haribulan ini (Sabtu) untuk kita melihat semula ke belakang.

“Mungkin kita sedang marah, mungkin kita sedang digoda, mungkin sedang terhimpit, maka, kita membuat keputusan yang tidak memihak kepada kebenaran diri kita,” kata timbalan perdana menteri ketika berucap pada majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Dewan Muafakat Rengit, di Kampung Parit Tengah, Rengit, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit Ayub Jamil.

Zahid berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak sentiasa berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima semula pemimpin berkenaan untuk kembali ke “pangkal jalan”.

Menurut beliau, di dalam politik, seseorang pemimpin itu perlu mempunyai 3 elemen untuk menjadi seorang pemimpin hebat iaitu memiliki daya tahan, daya juang dan daya saing, namun, kehebatan itu tidak sekadar dibaluti 3 elemen berkenaan kerana ia perlu disertai percaya kepada ketentuan Tuhan dan reda.

Menurut Zahid, jika diikutkan rasa marah dan merajuk, beliau juga tentunya meninggalkan Umno apabila dikenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada suatu masa dahulu, namun, tidak berbuat demikian kerana memiliki jiwa yang kental terhadap parti.

“Saya juga ingin ingatkan diri saya, sebab saya sudah melalui pelbagai ujian. Terimalah hakikat (jika tidak dipilih sebagai calon).

“Saya tidak menujukan hal ini kepada sesiapa tetapi ingatlah Allah sentiasa menguji hambanya yang disayangi dan kita tidak tahu apa hikmah yang Allah turunkan selepas ujian itu,” katanya.

Menteri Dalam Negeri itu berkata setiap pemimpin juga perlu membuktikan prinsip wala’ yang sebelum ini sentiasa diberi keutamaan oleh pemimpin parti termasuk soal pemilihan calon.

“Bagi saya, kalau kita wala’ apa yang diputuskan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dimuktamadkan Perdana Menteri selaku pengerusi Barisan Nasional (BN), tentu ada rasional dan sandaran mengapa seseorang itu dipilih,” katanya.

Katanya BN mahu calon di negeri ini menang besar bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri dan atas sebab itu BN mencari calon yang berpotensi menang besar pada PRU14.

“Menerusi kajian secara bebas, bukan meletakkan siapa pemimpin dikehendaki, tetapi yang rakyat kehendaki. InsyaAllah boleh menang.

“Tapi saya (ada pemimpin) rasa diri saya (diri dia) patut menang dan patut bertanding, itu adalah kajian syok sendiri nama dia,” katanya.

Kepada jentera BN khususnya di Parlimen Batu Pahat, timbalan pengerusi BN itu mengingatkan mereka supaya memantapkan gerak kerja di Pusat Daerah Mengundi dan mengenepikan titik bengik serta perbezaan pendapat dalam merampas kembali kerusi Parlimen itu yang tewas kepada PKR pada PRU13.

Menurut Zahid, usaha pemimpin dan jentera yang sudah menjalani beberapa kursus termasuk kursus “Get Out The Voters” tidak bermakna sekiranya pemimpin dan jentera tidak memiliki roh dalam kepimpinan.

Beliau berkata langkah beliau turun padang ke mana-mana Parlimen dan DUN, bukan mahu mencampuri urusan sebaliknya bertindak turun padang.

“Macam (seperti) Johor kerana kita bukan saja hormat Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) tetapi kepimpinan Johor yang mahu membawa Johor sebagai sebuah negeri berkemajuan.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Pilih calon: Puad Zarkashi jawab Zahid

Puad Zarkashi harus terima hakikat, kata Zahid